Isnin, 11 Februari 2019 | 11:04am
Kes Najib yang didakwa atas tiga tuduhan pengubahan wang haram, akan didengar di Mahkamah Tinggi. - NSTP/Asyraf Hamzah

Kes Najib akan didengar di Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR: Kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didakwa atas tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana syarikat SRC International Sdn Bhd, akan didengar di Mahkamah Tinggi.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Peguam Negara, Tommy Thomas untuk kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan pihak pendakwaan untuk kes itu dibicarakan bersama tujuh pertuduhan lain.

Esok, mahkamah akan memulakan prosiding perbicaraan terhadap Najib atas tujuh pertuduhan membabitkan SRC International.

Mohd Nazlan dalam penghakimannya, berkata isu berhubung permohonan untuk kes didengar bersama adalah tidak matang.

"Perkara itu adalah di bawah bidang kuasa mahkamah yang akan mendengar permohonan itu," katanya.

Pada prosiding itu, Thomas memberitahu mahkamah, permohonan untuk kes dibicarakan secara bersama adalah atas alasan kesemua kes berkongsi fakta yang sama.

Terdahulu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, memohon pihak pendakwaan untuk mengemukakan senarai saksi yang akan dipanggil sepanjang perbicaraan yang bermula esok.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup, memberitahu mahkamah pihaknya hanya boleh memaklumkan senarai saksi sebaik perbicaraan bermula esok.

"Jika kami memaklumkan kepada pihak pembelaan sekarang, itu hanya cadangan,” katanya.

Mahkamah kemudian memerintahkan pihak pendakwaan untuk mengemukakan senarai saksi yang akan dipanggil pada peringkat ini selepas selesai prosiding rayuan penangguhan kes di Mahkamah Rayuan.

Pada 8 Februari lalu, Najib didakwa atas tiga tuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah keseluruhan RM47 juta, hasil aktiviti wang haram melalui tiga akaun AmPrivate Banking miliknya di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Nombor 55, Jalan Raja Chulan, di sini, pada 8 Julai 2014.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613), yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Berita Harian X