Rabu, 13 Februari 2019 | 12:05pm

Ketua balai mengaku tak bersalah tiga tuduhan rasuah

SEREMBAN: Bekas Ketua Balai Polis Tanah Merah, Port Dickson mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tiga pertuduhan rasuah pada 2014.

Tertuduh, Sarjan Abdul Qayum Vekapady Abdullah, 59 membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Junaidah Mohd Isa sebaik semua kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa menerima RM500 dan meminta suapan berbentuk telefon bimbit daripada M Moorthy, untuk tidak mengambil tindakan dan memberi perlindungan kepada lori digunakan lelaki itu yang melalui kawasan pentadbiran balai polis berkenaan.

Dia didakwa melakukan dua kesalahan itu di Lot 7271, Pekan Tanah Merah Utara, Kampung Baru Site C, Port Dickson, antara 1.40 tengahari hingga 2.10 petang pada 5 Mac 2014.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa menerima RM1,000 bagi membeli telefon bimbit Iphone 5 untuk dirinya, sebagai dorongan tidak mengambil tindakan yang sama daripada lelaki yang sama.

Perbuatan itu dilakukan di Restoran Old Town White Coffee, Port Dickson jam 3.40 petang pada 6 Mac 2014.

Bagi pertuduhan pertama dan ketiga, Abdul Qayum didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Untuk pertuduhan kedua pula, dia didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009, memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun serta denda sehingga lima kali ganda nilai suapan, jika sabit kesalahan.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nordiyanah Mohd Nawawi dan Karmila Mokhtar manakala tertuduh diwakili peguam, Rajinder Singh.

Ketika mengemukakan jaminan, Nordiyanah memohon ikat jamin RM21,000 bagi semua pertuduhan sebelum Rajinder meminta jaminan yang rendah terhadap anam guamnya.

Sebaik meneliti rayuan kedua-dua pihak, Junaidah menawarkan jaminan RM15,000 bagi tiga pertuduhan sebelum menetapkan 19 Mac depan sebagai sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.

735 dibaca
SARJAN Abdul Qayum Vekapady Abdullah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini atas tiga pertuduhan rasuah pada 2014. - Foto Hazreen Mohamad
Berita Harian X