Jumaat, 15 Februari 2019 | 12:40pm
DADAH jenis heroin dan syabu yang dirampas polis di sebuah rumah di kampung Makam Mahsuri, Mukim Ulu Melaka. - Foto ihsan PDRM
DADAH jenis heroin dan syabu yang dirampas polis di sebuah rumah di kampung Makam Mahsuri, Mukim Ulu Melaka. - Foto ihsan PDRM

Ditahan ketika leka bungkus dadah

LANGKAWI: Polis menahan empat lelaki yang leka membungkus dadah dalam sebuah rumah di Kampung Makam Mahsuri, Mukim Ulu Melaka, di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata siasatan mendapati keempat-empat lelaki berusia antara 23 dan 44 tahun itu, dipercayai membungkus dadah untuk dijual kepada penagih di kawasan sekitar, kira-kira jam 1 pagi.

Katanya, semua lelaki itu yang duduk atas lantai cuba bertindak agresif dan melarikan diri tetapi berjaya ditahan polis.

“Pemeriksaan di atas lantai dalam rumah itu menemui empat paket lutsinar dipercayai dadah jenis heroin seberat 18.04 gram (g).

“Turut dirampas, 11 paket lut sinar dan dua keratan straw disyaki berisi syabu seberat 1.04 g,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, siasatan lanjut mendapati semua lelaki yang positif dadah morfin itu, mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

“Semua suspek adalah penduduk tempatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Berita Harian X