Ahad, 17 Februari 2019 | 11:37am
HARIMAU kumbang yang membaham 15 biri-biri di Kampung Geylang berjaya ditangkap Jabatan PERHILITAN. - Foto IHSAN PERHILITAN

Harimau kumbang baham 15 biri-biri

JELEBU: Harimau kumbang yang membaham 15 biri-biri di Kampung Geylang, Simpang Pertang, di sini, semalam, berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Sembilan, malam tadi.

Pengarah PERHILITAN Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun, berkata haiwan itu ditangkap pada jam 10 malam dengan menggunakan perangkap besi yang dipasang di kawasan kampung berkenaan sejak dua minggu lalu.


ANTARA daripada 15 kambing yang ditemui mati dipercayai dibaham harimau didalam kandang di Kampung Geylang,Simpang Pertang. - Foto Abnor Hamizam

“Kita menggunakan umpan seekor kambing hidup yang diletakkan di dalam sangkar berasingan bersebelahan perangkap besi berkenaan.

“Bagaimanapun, kita belum mengenal pasti jantina dan berat haiwan itu kerana masih menunggu prosedur rawatan dijalankan oleh Jabatan Veterinar dan PERHILITAN negeri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Selain itu, beliau berkata, spesies harimau itu adalah spesies terancam yang sukar ditemui dan dilindungi sepenuhnya mengikut jadual kedua Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Katanya, harimau kumbang itu akan dilepaskan kembali ke habitat asal selepas pemeriksaan dijalankan bagi memastikan spesis itu sihat.

Beliau berkata, siasatan susulan turut mendapati haiwan pemangsa itu masuk ke kandang melalui ruang antara bumbung dan dinding kandang pengadu.

“PERHILITAN sudah menutup kandang kambing pengadu dengan menggunakan jaring hitam di sekeliling bagi menutup ruang yang membolehkan pemangsa masuk ke dalam kandang,” katanya.

Sementara itu, pemilik biri-biri, Ibrahim Maasin, 60, berkata dia hanya menyedari kejadian pada jam 9 pagi ketika mahu memberi makan kepada haiwan ternakannya.

“Kandang itu terletak kira-kira 100 meter dari rumah dan saya percaya serangan harimau itu berlaku pada tengah malam.

“Ini adalah kejadian keempat dan tiga kejadian sebelum ini mengakibatkan 20 ekor kambing ternakan saya mati.

“Tiga kejadian serangan sebelum ini berlaku di luar kandang dan insiden terbaru ini adalah kejadian pertama haiwan pemangsa itu masuk ke dalam kandang,” katanya.

Berita Harian X