Ahad, 17 Februari 2019 | 12:55pm

Lori tangki bawa diesel, petrol terbakar

MIRI: Lori tangki membawa muatan 33,000 liter diesel dan petrol terbakar dalam kejadian di Kilometer 52 Jalan Pesisir Pantai Bekenu-Miri, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 8.20 pagi itu, lori berkenaan dilaporkan terbalik sebelum terbakar, manakala, pemandu lori, Jerry Jawa, 33, dilaporkan selamat dan hanya cedera ringan.

Ketua Zon Bomba dan Penyelamat Miri, Law Poh Kiong, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.33 pagi berhubung kejadian itu.

Menurutnya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri, Lopeng dan Samalaju kemudiannya dikerahkan ke lokasi.

“Setakat ini 11.30 pagi, api sudah berjaya dipadam, manakala mangsa sudah dibawa ke Hospital Miri untuk rawatan,” katanya.

Katanya, setakat ini, punca kebakaran masih dalam siasatan.

Kejadian itu turut mengakibatkan Jalan Miri-Bintulu sesak teruk dan orang ramai diminta menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan.

LORI tangki dengan muatan 33,000 liter diesel dan petrol terbakar dalam kemalangan di kilometer 52 Jalan Pesisir Pantai Bekenu-Miri. - Foto IHSAN JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT.
Berita Harian X