Isnin, 18 Februari 2019 | 9:24am
DADAH jenis heroin dan syabu yang dirampas polis dan selepas menahan 12 pengedar dadah dalam serbuan di Kampung Paya Mengkuang, Mukim Ulu Melaka, Langkawi. - Foto ihsan Polis
DADAH jenis heroin dan syabu yang dirampas polis dan selepas menahan 12 pengedar dadah dalam serbuan di Kampung Paya Mengkuang, Mukim Ulu Melaka, Langkawi. - Foto ihsan Polis

Kru kapal layar, kerani ditahan edar dadah

LANGKAWI: Kru kapal layar dan kerani antara 12 ahli sindiket pengedaran dadah yang ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Paya Mengkuang, Mukim Ulu Melaka di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata kru kapal layar dan kerani masing-masing berusia 27 dan 24 tahun itu ditahan ketika leka membungkus dadah bersama 10 suspek lain pada jam 11.30 pagi.

“Kedua-dua lelaki itu bersama suspek lain berusia antara 25 hingga 45 tahun ditahan ketika duduk di lantai sambil membungkus pelbagai jenis dadah.

“Awalnya mereka bertindak agresif dan cuba melawan anggota polis yang mengepung rumah berkenaan, namun semua suspek dapat ditahan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, pihaknya merampas dadah jenis heroin seberat 128.33 gram dan syabu 7.7 gram dipercayai untuk diedar sekitar daerah ini.

“Siasatan lanjut mendapati semua lelaki terbabit positif morfin, selain mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

“Semua suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X