Isnin, 18 Februari 2019 | 5:16pm
Mazlan (tengah) pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA

Suspek belasah, samun wanita di lif MRT dikenal pasti

KUALA LUMPUR: Polis sudah mengenal pasti identiti lelaki yang membelasah dan menyamun seorang wanita dalam kejadian di sebuah lif di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Taman Mutiara, Cheras, Khamis lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata semakan mendapati suspek adalah seorang lelaki tempatan dan usaha memburunya sedang giat dilakukan.

Beliau yang enggan mendedahkan lebih lanjut butiran suspek menganggap lelaki itu sebagai seorang penjenayah yang ganas kerana tergamak membelasah mangsanya sebegitu.

“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati pada jam 6.30 pagi, suspek terlebih dahulu menyamun sebuah kedai serbaneka yang terletak kira-kira 500 meter dari stesen MRT berkenaan.

“Namun dia hanya melarikan beberapa kotak rokok saja sebelum dia ke stesen MRT dan menyamun mangsa kira-kira jam 6.45 pagi,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya kini dalam operasi memburu suspek yang dipercayai masih berada di sekitar ibu negara.

Dalam kejadian Khamis lalu itu, seorang wanita berusia 48 tahun bengkak di dahi akibat dibelasah dan disamun suspek yang menaiki lif bersamanya.

Suspek melarikan dompet mangsa berisi kad pengenalan, kad ATM dan wang tunai berjumlah RM400.

Insiden samun itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dalam lif berkenaan dan viral selepas dimuat naik di media sosial sejak hari kejadian.

Dalam rakaman berdurasi 57 saat itu, suspek dilihat menumbuk mangsa beberapa kali sebelum menarik rambut dan menendang wanita berkenaan.

Lelaki itu kemudian menarik beg tangan mangsa dan mengambil dompet wanita itu sebelum melarikan diri.

Video berkenaan yang tersebar luas di media sosial menerima kecaman hebat daripada kalangan netizen.

Berita Harian X