Isnin, 18 Februari 2019 | 7:44pm

Keluarga syukur jenazah Siti Masitah dapat dikebumikan

KUANTAN: “Saya bersyukur jenazah anak saya (Siti Masitah Ibrahim, 11) boleh dituntut dan dikebumikan dengan sempurna selepas sembilan hari mayatnya dijumpai,” kata Solihah Abdullah, 35.

Beliau juga memaklumkan tidak putus berdoa dan solat hajat supaya jenazah anaknya yang ditemui dalam keadaan tragik selepas dibunuh di kawasan belukar di Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan, 9 Februari lalu, dapat diuruskan secepat mungkin.

Solihah yang ditemani sepupunya, Nur Asiah Abdul Manan, 33, tiba di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, kira-kira jam 5 petang bagi menuntut jenazah Siti Masitah.

JENAZAH Siti Masitah dibawa keluar di Bilik Mayat, Hospital Tengku Ampuan Afzan. - Foto Muhd Asyraf Sawal
JENAZAH Siti Masitah dibawa keluar di Bilik Mayat, Hospital Tengku Ampuan Afzan. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Katanya, Siti Masitah dijangka dikebumikan pada malam ini sebaik segala urusan berkaitan membawa pulang jenazah anaknya diselesaikan.

“Kalau cepat mungkin lepas Maghrib ini boleh dikebumikan atau selepas Isyak,” katanya.

Dalam kejadian jam 4 petang, 9 Februari lalu, mayat Siti Masitah ditemui dalam keadaan tidak sempurna dipercayai sudah dibunuh dalam tempoh lebih seminggu.

Beliau dilaporkan hilang oleh keluarganya pada jam 5 petang, 30 Januari lalu sebelum membuat laporan polis pada hari sama.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nanyan, sebelum ini memaklumkan, suspek lelaki berusia 23 tahun ditahan pada jam 2 pagi 31 Januari lalu bagi membantu siasatan kehilangan Siti Masitah.

Siasatan dilakukan polis mendedahkan suspek mengaku membunuh Siti Masitah menggunakan kayu kerana dendam, sebelum dia direman selama seminggu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, Solihah berkata beliau bergegas ke HTAA selepas dimaklumkan oleh pihak polis sekitar jam 4 petang, untuk mengambil jenazah anaknya.

Difahamkan, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Medang, Pekan, selepas urusan memandikan dan mengkafankan jenazah selesai.

SOLIAH ditemani anak saudaranya, Nor Asiah Abdul Manan tidak dapat menahan kesedihan ketika jenazah anaknya, Siti Masitah Ibrahim dibawa keluar di Bilik Mayat, Hospital Tengku Ampuan Afzan. - Foto Muhd Asyraf Sawal
SOLIAH ditemani anak saudaranya, Nor Asiah Abdul Manan tidak dapat menahan kesedihan ketika jenazah anaknya, Siti Masitah Ibrahim dibawa keluar di Bilik Mayat, Hospital Tengku Ampuan Afzan. - Foto Muhd Asyraf Sawal
Berita Harian X