Isnin, 18 Februari 2019 | 8:18pm

Najib cabar pelantikan Sri Ram: Mahkamah putuskan Rabu ini

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan pada Rabu ini untuk memutuskan permohonan kebenaran dikemukakan Datuk Seri Najib Razak dan peguamnya bagi memulakan prosiding semakan kehakiman untuk mencabar pelantikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Pelantikan Sri Ram itu dibuat oleh Pejabat Peguam Negara, selaku Pendakwa Raya Kanan bagi mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes jenayah dihadapi Najib dan peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, yang mewakili Pejabat Peguam Negara selaku responden, ketika ditemui selepas pendengaran permohonan kebenaran itu hari ini, berkata mahkamah turut mendengar bantahan awal dikemukakan pihaknya.

Shamsul berkata, bantahan awal itu membabitkan isu bahawa kini terdapat dua permohonan sama yang difailkan kedua-dua pemohon iaitu di Mahkamah Tinggi Sivil dan Mahkamah Tinggi Jenayah.

Beliau berkata, permohonan di Mahkamah Tinggi Jenayah membabitkan notis usul bagi mendapatkan perintah supaya Sri Ram menarik diri daripada mengetuai kes pendakwaan manakala di Mahkamah Tinggi Sivil membabitkan permohonan mencabar kesahihan, kewajaran dan sama ada pelantikan Sri Ram adalah munasabah.

“Kami berhujah bahawa kedua-dua permohonan itu sepatutnya hanya didengar di Mahkamah Tinggi Jenayah kerana mempunyai asas sama,” katanya.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, ketika ditemui berkata walaupun permohonan kebenaran semakan beliau dan Najib difailkan berasingan, ia membabitkan nas dan hujahan yang sama.

Sementara itu, peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Muhammad Shafee, berkata isu yang pihaknya kemukakan adalah berhubung sama ada pelantikan Sri Ram oleh Pejabat Peguam Negara selaku Pendakwa Raya Kanan adalah sah dan keengganan pendakwaan untuk mengemukakan surat pelantikan kepada peguam bela.

Berlainan pula dengan permohonan di Mahkamah Tinggi Jenayah, Harvinderjit berkata, ia membabitkan permohonan pihaknya bagi perintah supaya Sri Ram menarik diri atau membatalkan kelayakannya daripada mengetuai dan mengendalikan pendakwaan kes berkenaan.

Permohonan bagi kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman dan bantahan awal Pejabat Peguam Negara akan diputuskan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azizah Nawawi.

Dalam permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman difailkan pada Disember lalu, Najib dan Muhammad Shafee memohon perisytiharan untuk membatalkan keputusan Peguam Negara/Pendakwa Raya yang tidak mengemukakan surat pelantikan Sri Ram mengikut Seksyen 376(3) Kanun Acara Jenayah.

Mereka turut memohon untuk membatalkan atau menolak pelantikan Sri Ram berikutan surat pelantikan tidak sah dan memohon perisytiharan bahawa terdapat konflik kepentingan berhubung pelantikan itu.

Turut dipohon, perintah untuk melarang Sri Ram daripada terus mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes jenayah dihadapi Najib membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kes mengemukakan pernyataan tidak benar kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta pengubahan wang haram dihadapi Muhammad Shafee.

NAJIB hadir pada Permohonan kebenaran semakan kehakiman beliau dan peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk mencabar pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai kes jenayah mereka di Mahkamah Tinggi. - Foto Aswadi Alias.
NAJIB hadir pada Permohonan kebenaran semakan kehakiman beliau dan peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk mencabar pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai kes jenayah mereka di Mahkamah Tinggi. - Foto Aswadi Alias.
Berita Harian X