Selasa, 19 Februari 2019 | 9:48pm
NAIB Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Husam Musa. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Husam dipanggil SPRM

KOTA BHARU: Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Husam Musa dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, di sini, malam ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan itu dipanggil ke ibu pejabat SPRM pada jam 9 malam tadi.

Difahamkan, Husam dipanggil untuk diambil keterangan berhubung dakwaan penerimaan dana UMNO oleh beberapa pemimpin PAS yang kini dalam siasatan SPRM.

Sumber parti itu berkata, perkara itu baru diketahui dan memaklumkan Husam akan datang ke pejabat SPRM.

Setakat jam 9.10 malam, Husam belum tiba di pejabat SPRM.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz hadir di pejabat SPRM Kelantan pada 8 Februari lalu bagi memberi kenyataan berhubung siasatan PAS yang didakwa menerima wang RM90 juta dikatakan daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Nik Abduh yang juga Ahli Parlimen Bachok adalah antara empat individu dianggap saksi penting dalam siasatan kes beberapa pemimpin PAS didakwa menerima dana RM90 juta itu.

Berita Harian X