Selasa, 19 Februari 2019 | 11:43pm

Husam beri keterangan hampir dua jam di SPRM

KOTA BHARU: Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Husam Musa, memberi keterangan hampir dua jam di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, malam ini.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan memasuki bangunan SPRM pada jam 9.25 malam sebelum keluar pada jam 11.05 malam.

Husam ketika ditemui pemberita berkata, beliau dinasihatkan oleh pegawai SPRM supaya tidak memberi sebarang kenyataan kepada pihak media.

Katanya, ia bagi mengelakkan sebarang masalah timbul memandangkan siasatan masih dilakukan.

“Saya dipanggil untuk memberi keterangan berhubung isu dana itulah (penerimaan dana UMNO oleh beberapa pemimpin PAS).

“Saya kira kalau ada apa-apa tambahan, mungkin saya dipanggil semula,” katanya yang enggan memaklumkan sama ada turut menyerahkan sebarang dokumen kepada SPRM.

Terdahulu, Husam yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor tiba di pejabat SPRM dengan menaiki Toyota Innova sambil diiringi dua pegawainya.

Media sebelum ini melaporkan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, hadir di pejabat SPRM Kelantan pada 8 Februari lalu untuk diambil keterangan berhubung siasatan kes PAS didakwa menerima wang RM90 juta menerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Nik Abduh yang juga Ahli Parlimen Bachok ialah antara empat individu dianggap saksi penting dalam siasatan kes beberapa pemimpin PAS didakwa menerima RM90 juta dikatakan daripada 1MDB.

NAIB Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Husam Musa keluar dari pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kota Bharu, malam tadi. - Foto Zaman Huri Isa
Berita Harian X