Rabu, 20 Februari 2019 | 12:36am
EMPAT penunggang motosikal cedera, termasuk dua parah, dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika berteduh di bawah jejambat di Kilometer 204.4 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Kamunting, Taiping, kelmarin. - Foto ihsan pembaca

4 penunggang motosikal berteduh di bawah jejambat cedera dirempuh

TAIPING: Empat penunggang motosikal cedera, termasuk dua parah, dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika berteduh di bawah jejambat di Kilometer 204.4 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Kamunting, di sini, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid, berkata dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang, dua penunggang wanita berusia 22 tahun parah, termasuk seorang daripadanya penuntut kolej, manakala dua lelaki cedera.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati Toyota Hilux dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun dipercayai terbabas sebelum berpusing lalu melanggar semua mangsa yang berteduh di bawah jejambat berkenaan kerana hujan.

“Akibat perlanggaran itu, penuntut kolej menunggang motosikal Yamaha Lagenda, Umi Umairah Ahmad Salleh Hudin, 22, patah kaki dan paha kanan, manakala penunggang motosikal Honda 125, Siti Nur Atikah Yahaya, 22, parah di kepala.

“Dua lagi mangsa lelaki berusia 19 dan 20 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC 135 pula mengalami kecederaan ringan.

“Semua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan dan polis sudah melakukan rakaman percakapan daripada pemandu kenderaan pacuan empat roda terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X