Khamis, 21 Februari 2019 | 2:16pm
TAN Sri Muhammad Shafee Abdullah dapat pasport untuk sementara. - Foto BERNAMA
TAN Sri Muhammad Shafee Abdullah dapat pasport untuk sementara. - Foto BERNAMA

Muhammad Shafee dapat pasport untuk sementara

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk mendapatkan sementara pasport miliknya.

Pasport peguam itu sebelum ini diserahkan kepada mahkamah susulan beliau menghadapi dua tuduhan pengubahan wang haram dan dua tuduhan mengemukakan penyata tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan Muhammad Shafee mendapatkan pasportnya selepas perkara itu dimaklumkan peguam Rahmat Hazlan bahawa anak guamnya terbabit mengendalikan satu kes jenayah di Sydney Australia.

Rahmat berkata, prosiding itu berlangsung daripada 22 hingga 25 Februari ini.

Katanya, anak guamnya juga akan ke Jakarta, Indonesia pada 1 hingga 3 Mac depan.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap permohonan peguam itu.

Pada 13 September lalu, Muhammad Shafee didakwa membabitkan diri dengan aktiviti pengubahan wang haram iaitu menerima hasil aktiviti haram, masing-masing berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta.

Wang itu didakwa diterima melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh.

Peguam itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) yang membawa hukuman maksimum denda RM5 juta dan penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Peguam itu juga didakwa mengemukakan penyata tidak betul kepada LHDN yang bertentangan dengan Perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Berita Harian X