Khamis, 21 Februari 2019 | 3:18pm
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim (kiri) ketika sidang media pada Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Kontinjen Selangor di Dewan Utama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. Turut hadir Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin. - Foto BERNAMA

Ketirisan 'land swap': Polis siasat jika terima laporan

KUALA LUMPUR: Polis akan menyiasat sebarang laporan membabitkan dakwaan kerugian lebih RM500 juta bagi urus niaga penswastaan memajukan tanah Kementerian Pertahanan jika ada keperluan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata pihaknya akan melihat laporan dibuat secara teliti sebelum mengambil tindakan susulan.

“Sudah semestinya jika ada laporan dibuat, kita akan lihat jika ada tindakan dan perlu disiasat polis.

“Kalau lebih kepada unsur rasuah, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan ambil tindakan,” katanya pada sidang media Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Kuala Lumpur, di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini, hari ini.

Kelmarin, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dilaporkan berkata, kerugian RM500 juta itu terdedah hasil siasatan yang dibentangkan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang pada 28 Januari lalu.

Katanya, laporan siasatan berkenaan kemudian dibentangkan dan diterima dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Februari lalu.

“Semua kerugian dan ketirisan itu membabitkan 16 projek ‘land swap’ (pertukaran tanah) terdiri daripada 2,923 ekar (1,183 hektar) tanah milik Kementerian Pertahanan dengan nilai RM4.7 bilion dan kos projek sebanyak RM4.8 bilion,” katanya.

Mengulas perkembangan lain, Noor Rashid berkata pihaknya masih menunggu arahan daripada pejabat Peguam Negara untuk mengambil tindakan selanjutnya berhubung kes anak Mohamad yang ditahan positif dadah pada 5 Januari lalu.

“Laporan perubatan sudah ada dan kertas siasatan sudah diserahkan kepada pihak Peguam Negara,” katanya.

Pada 5 Januari lalu, Ahmad Saiful Islam Mohamad, 31, ditahan selepas positif ganja dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang, di sini.

113 dibaca
Berita Harian X