Khamis, 21 Februari 2019 | 7:43pm
Hishammuddin mengalu-alukan siasatan ke atasnya dan pihak berkaitan berhubung dakwaan kerugian besar ditanggung Kementerian Pertahanan membabitkan 16 projek ‘land swap’ (pertukaran tanah) yang berlaku.

Tiada apa yang saya sembunyikan - Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, mengalu-alukan siasatan ke atasnya dan pihak berkaitan berhubung dakwaan kerugian besar ditanggung Kementerian Pertahanan membabitkan 16 projek ‘land swap’ (pertukaran tanah) yang berlaku di tanah milik kementerian itu.

Hishammuddin, menerusi muat naik di akaun Facebooknya, berkata beliau tidak mempunyai sebarang perkara yang ingin disembunyikan.

“Saya menerima hasil siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang pada 28 Januari lalu mendedahkan 16 projek ‘land swap’ yang membawa kerugian RM500 juta.

“Saya tetap konsisten dan tidak pernah berdolak-dalik, tiada perkara yang saya mahu sembunyikan, malah saya alu-alukan siasatan terhadap semua menteri sejak 1997 bersandarkan kepada ‘rule of law’,” katanya hari ini.

Semalam, BH melaporkan Kementerian Pertahanan mendedahkan kerajaan rugi lebih RM500 juta bagi urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah milik kementerian itu yang dipercayai berlaku sejak 1997.

Menterinya, Mohamad Sabu, dilaporkan berkata perkara itu terdedah hasil siasatan yang dibentangkan JKSTUPKK yang dipengerusikan Ambrin pada 28 Januari lalu.

Katanya, semua kerugian dan ketirisan itu membabitkan 16 projek ‘land swap’ terdiri daripada 2,923 ekar (1,183 hektar) tanah milik Kementerian Pertahanan dengan nilai RM4.7 bilion dan kos projek RM4.8 bilion.

Terdahulu, Kementerian Pertahanan tampil membuat laporan dan menyerahkan hasil siasatan urus niaga dua daripada 16 projek pertukaran tanah itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Laporan dan penyerahan hasil siasatan dibuat oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas Kepada Menteri Pertahanan, Mohd Nasaei Ismail, di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, hari ini.

Kementerian Pertahanan turut meminta SPRM menyiasat pihak berkaitan terutama dalam pentadbiran lalu, yang terbabit secara langsung dalam memutuskan projek berkenaan.

Katanya, dua projek ‘land swap’ itu membabitkan pembinaan Kem Paloh di Johor dan Kem Hutan Melintang di Perak.

818 dibaca
Berita Harian X