Jumaat, 22 Februari 2019 | 3:19pm
Mohd Haris ketika ditemubual pada Majlis Perhimpunan Bulanan Februari 2019, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, di Penampang. - NSTP/Edmund Samunting

Kes cabul pekerja, tauke kedai runcit ditahan

Penampang: Seorang tauke kedai runcit, di sini, ditahan selepas disyaki mencabul pekerja perempuannya berusia 14 tahun, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa yang baru tiga hari bekerja dikatakan sedang membersihkan bilik stor di kedai runcit berkenaan.

Suspek warga Pakistan kemudian mendekati mangsa lalu memeluk mangsa dari arah belakang dan mencabulnya.

Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis pada hari sama kejadian.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Mohd Haris Ibrahim, berkata berdasarkan laporan itu, sepasukan polis menahan suspek yang juga pemilik kedai runcit berkenaan.

“Suspek berusia lingkungan 20 tahun ditahan kerana didakwa mencabul seorang remaja perempuan yang juga pekerjanya.

“Suspek direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Dalam kes berasingan, beliau berkata, polis menahan seorang pengawal keselamatan kerana didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun.

“Suspek lelaki berusia 19 tahun ditahan susulan laporan polis yang dibuat bapa mangsa selepas mendapati suspek berada di bilik tidur anaknya (mangsa).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.

1197 dibaca
Berita Harian X