Jumaat, 22 Februari 2019 | 7:03pm
Seorang lelaki warga emas maut apabila lori dipandunya gagal mengelak lori di hadapan di Jalan Pelabuhan Barat, Pulau Indah. - Ihsan pembaca

Pemandu lori maut leka lihat kemalangan

PELABUHAN KLANG: Seorang lelaki warga emas maut apabila lori dipandunya gagal mengelak lori di hadapan dipercayai akibat leka melihat kemalangan di laluan bertentangan di Jalan Pelabuhan Barat, Pulau Indah di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, mangsa dikenali sebagai Devernyanan, 63, meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit dalam lori berkenaan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata siasatan awal pihaknya mendapati mangsa dalam perjalanan dari Pulau Indah menuju ke Klang.

“Sewaktu perjalanan itu, mangsa dikatakan sedang asyik melihat satu kemalangan di laluan bertentangan jalan berkenaan.

“Dia gagal mengelak lalu melanggar sebuah lori yang berada di hadapannya lalu tersepit dalam lori dipandunya itu.

“Mangsa yang berjaya dikeluarkan bomba bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

Shamsul Amar berkata pemandu lori yang dilanggar, Rostan Mohd Yusup, 32, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Berita Harian X