Sabtu, 23 Februari 2019 | 2:42pm

Gigitan cinta OKU bawa padah

BAU: Gigitan cinta yang disangka kesan lebam pada leher seorang remaja berusia 14 tahun membawa padah kepada seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) apabila dia ditahan di sini, Khamis lalu.

Suspek yang berusia 26 tahun serta tidak bekerja itu ditahan susulan laporan polis dibuat pegawai perubatan yang memeriksa kanak-kanak terbabit selepas mendapati lebam itu sebenarnya adalah ‘gigitan cinta’.

Difahamkan, mangsa dihantar oleh ibunya ke Hospital Bau selepas bimbang keselamatan anaknya apabila terdapat kesan calar pada tangan dan lebam di leher.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superitendan Poge Nyaon, yang mengesahkan perkara itu, berkata suspek direman semalam untuk siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati mangsa dan suspek sudah berkenalan sejak September 2017 dan pada 28 Januari lalu, mangsa dijemput suspek ke rumahnya.

“Kanak-kanak terbabit mengaku melakukan hubungan seks dengan lelaki itu yang dikenalinya menerusi WeChat.

“Mangsa juga dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) semalam untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Poge berkata, suspek mempunyai kecacatan fizikal akibat kemalangan jalan raya dan pemegang kad OKU dari Jabatan Kebajikan Masyatakat (JKM).

“Kes itu disiasat di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan,” katanya.

4929 dibaca
Berita Harian X