Selasa, 26 Februari 2019 | 1:17pm
Azhar (dua dari kanan) bersama Pegawai Pengurus PRK Semenyih, Datuk Mohd Sayuti Bakar (kanan) dan Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin (tiga dari kanan) meninjau pusat pengundian awal pada PRK DUN Semenyih Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Jika ada maklumat, buat aduan polis, SPRM - SPR

HULU LANGAT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan pemberian sebarang bentuk hamper dan khidmat membaik pulih rumah sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih adalah bercanggah dengan peraturan pilihan raya.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kesalahan berkenaan dan berharap pihak yang mempunyai maklumat lengkap melaporkannya kepada pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata, tanggungjawab melaporkan setiap kesalahan sepanjang tempoh berkempen pada pilihan raya adalah tanggungjawab bersama, bukan hanya dibebankan kepada SPR semata-mata.

"SPR hanya mengelola pilihan raya. Kita hanya keluar panduan yang sudah ada dalam undang-undang. Kita nasihatkan parti supaya ikut peraturan. Apabila ada insiden (pelanggaran peraturan) dia ada dua kesan.

"Kalau ia kesalahan pilihan raya, maka orang yang ada fakta kena buat laporan kepada polis dan SPRM. (Kesan kedua) jika insiden itu boleh digunakan sebagai satu alasan bagi mencabar keputusan pilihan raya, jadi dia boleh buat petisyen," katanya.

Beliau berkata SPR tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat, mengambil tindakan dan memanggil pihak yang didakwa bersalah untuk memberi keterangan.

Beliau berkata, proses mengambil tindakan bagi kesalahan dalam pilihan raya sama dengan kes kesalahan jenayah yang lain.

"Sesiapa yang ada fakta (pelanggaran peraturan) sila buat laporan, supaya polis dan SPRM dapat siasat dan mereka dapat sediakan draf pertuduhan untuk dibawa kepada pejabat Peguam Negara," katanya.

Azhar mengulas mengenai pelbagai kesalahan yang viral sepanjang tempoh berkempen pada PRK DUN Semenyih, namun seakan tiada tindakan diambil pihak berkuasa.

Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk pemberian hamper, pemberian peruntukan baik rumah, pemberian bubur serta penajaan makan dan minum.

Azhar berkata, sama juga dengan tugas penguat kuasa SPR yang menjalankan pemantauan di kawasan pilihan raya juga akan bertindak membuat laporan jika didapati wujud pelanggaran peraturan termasuk berkait jenayah dan kecenderuangan rasuah.

"Kalau dia (petugas SPR) nampak mereka akan berhenti (buat teguran). Kalau dia tidak berhenti dia akan ambil keterangan dan dia akan buat laporan (kepada pihak polis atau SPRM).

"Dalam PRK ini, SPR ada buat laporan polis, berkait salah guna logo SPR, itu yang kita buat laporan sebab kita ada fakta langsung," katanya.

Mengulas pengundian awal hari ini, Azhar berkata, berdasarkan tinjauannya setakat jam 11 pagi tadi, semua berjalan lancar.

Berita Harian X