Selasa, 26 Februari 2019 | 2:09pm

Tetak kakak ipar berang campur tangan urusan cerai

KOTA MARUDU: Seorang wanita menetak kakak iparnya menggunakan parang selepas berang mangsa campur tangan urusan perceraian dengan suaminya dalam kejadian di Balai Raya Kampung Talantang 2, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.04 pagi itu, mangsa berusia 57 tahun bekerja sebagai petani parah patah lengan kanan selain luka di siku.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata, ketika kejadian suspek berusia 50 tahun yang baru balik dari kebun getahnya datang ke balai raya dan marah apabila melihat mangsa berada di dalam balai raya berkenaan.

“Sebaik tiba di balai raya, suspek melihat mangsa (kakak iparnya) sedang duduk di kerusi lalu menghampiri mangsa dan berlaku pertengkaran mulut di antara mereka.

“Suspek yang dalam keadaan marah kemudian mengeluarkan sebilah parang lalu melibas dengan parang ke arah mangsa sebanyak dua kali,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohd Izaan berkata, mangsa yang melihat suspek mengeluarkan parang kemudian bangun lalu cuba menghalang libasan itu menggunakan tangan kiri.

“Akibat daripada libasan itu, mangsa mengalami dua luka di bahagian siku dan lengan kirinya.

“Mangsa kemudian dihantar ke Klinik Tandek, di sini, sebelum dirujuk ke Hospital Kota Marudu dan dirawat sebagai pesakit luar,” katanya.

Beliau berkata, bertindak atas laporan mengenai kejadian itu, suspek berjaya ditahan pada hari yang sama.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek adalah adik ipar kepada mangsa dan punca kejadian disebabkan suspek tidak puas hati kerana mangsa sering mengganggu proses perceraian suspek

“Suspek kini direman untuk siasatan lanjut dan senjata yang digunakan iaitu sebilah parang turut dirampas,” katanya.

Mohd Izaan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan parang.

Berita Harian X