Khamis, 28 Februari 2019 | 1:53pm
TIGA individu warga Indonesia diiringi anggota polis hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan menjalankan penyeludupan migran di Port Dickson pada Januari lalu. - Foto Iqmal Haqim Rosman

3 warga Indonesia didakwa perdagang orang

SEREMBAN: Tiga warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memperdagangkan rakan senegara, bulan lepas.

Kesemua tertuduh, Dody Junaidi, 40, Marianum Amran, 43, dan Hendra Syahputra, 36, hanya mengangguk faham sebaik selesai pertuduhan secara bersama dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim ​​Madihah Harullah. Tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menyeludup seorang migran dari Indonesia pada 11.15 pagi, di sebuah stesen minyak di Batu 7, Jalan Pantai, Telok Kemang, Port Dickson, 30 Januari lepas.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 28 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norhafizah Harun manakala tertuduh tidak diwakili peguam.– BERNAMA

312 dibaca
Berita Harian X