Jumaat, 1 March 2019 | 9:20am

Dua lagi pemimpin PAS dipanggil SPRM

KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS, Datuk Hasim Jasin dan EXCO PAS, Nasir Daud dipanggil bagi memberi keterangan membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pagi ini.

Difahamkan siasatan itu berhubung dakwaan penerimaan RM90 juta dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diberi UMNO.

Hashim akan memberi keterangan di pejabat SPRM Perlis, manakala Nasir di pejabat SPRM Kelantan.

Semalam, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dipanggil memberi keterangan kepada SPRM yang juga difahamkan berhubung dakwaan parti itu menerima RM90 juta dana 1MDB diberi UMNO.

Takiyuddin dilaporkan tiba di ibu pejabat SPRM Putrajaya jam 9.20 pagi untuk direkodkan keterangan berkaitan dakwaan itu.

Pada 25 Februari lalu, SPRM mengesahkan siasatan pihaknya setakat ini tidak menemui sebarang kemasukan wang RM90 juta yang didakwa daripada 1MDB ke dalam akaun PAS.

Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull; bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut berhubung perkembangan siasatan kes berkenaan.

Pada 8 Februari lalu, bekas Timbalan Presiden PAS, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya bagi memberi keterangan berhubung dakwaan beberapa pemimpin PAS menerima wang RM90 juta disyaki daripada 1MDB.

Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dalam artikelnya yang diterbitkan portal berkenaan, sebelum ini mendakwa ada pemimpin tertinggi PAS mungkin menerima RM90 juta untuk mendorong parti itu bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Isu terbabit timbul semula apabila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 1 Februari lalu membuat keputusan memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah dengan menarik balik tuntutan terhadap Rewcastle Brown berhubung artikel mengandungi tuduhan berkenaan.

1376 dibaca
Berita Harian X