Jumaat, 1 March 2019 | 11:32am
SETIAUSAHA Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Mohd Nasir Daud ketika ditemui di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan, Kota Bharu, hari ini. - Foto Syamsi Suhaimi

Mohd Nasir beri keterangan lebih sejam kepada SPRM

KOTA BHARU: Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Mohd Nasir Daud, selesai memberi keterangan lebih satu jam berhubung siasatan PAS yang didakwa menerima wang RM90 juta daripada UMNO di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan, di sini, hari ini.

Mohd Nasir yang juga bekas Setiausaha PAS Kuala Krai ketika ditemui di luar bangunan SPRM, berkata beliau tidak mengetahui mengenai kes dana berkenaan.

“Saya ditanya beberapa soalan termasuk sama ada saya mengetahui berhubung kes dana RM90 juta, namun saya jawab tidak tahu.

“SPRM juga tidak meminta apa-apa dokumen. Seramai dua pegawai yang menyoal tapi saya memang tidak tahu apa-apa,” katanya.

Ditanya sama ada pemimpin PAS lain termasuk Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz turut dipanggil ke SPRM, Mohd Nasir tidak mengetahui perkara itu.

Terdahulu, Mohd Nasir yang tiba di pekarangan pejabat SPRM Kelantan, di sini menaiki Toyota Hilux, ditemani isterinya, pada jam 9.40 pagi tadi.

Beliau adalah pemimpin PAS Kelantan kedua dipanggil memberi keterangan kepada SPRM selepas Nik Abduh.

Semalam, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dipanggil memberi keterangan kepada SPRM yang juga difahamkan berhubung dakwaan parti itu menerima RM90 juta dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diberi UMNO.

Berita Harian X