Jumaat, 1 March 2019 | 4:43pm
PEGUAM pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, Americk Singh Sidhu. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Peguam sahkan Rewcastle-Brown terima bayaran RM1.4 juta

KUALA LUMPUR: Peguam pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, Americk Singh Sidhu, mengesahkan anak guamnya menerima bayaran RM1.4 juta daripada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bagaimanapun, Americk, berkata pembayaran itu tidak diterima daripada Abdul Hadi, sebaliknya daripada pihak ketiga.

“Pihak ketiga berkenaan menandatangani cek itu bagi pihak Abdul Hadi kerana saya tidak mahu menerima wang tunai.

“Cek itu kemudian diserahkan kepada saya untuk diberikan kepada Rewcastle-Brown selepas dimasukkan ke dalam akaun anak guam saya,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Paparan terbaru di Sarawak Report memuatkan beberapa gambar salinan dokumen berkaitan, termasuk perjanjian rahsia, sekeping cek Bank Islam dan sepucuk surat kepada Maybank yang mengesahkan wang bernilai RM1,422,980 itu datang daripada Abdul Hadi.

Rewcastle-Brown berkata pembayaran itu diselesaikan menerusi akaun ‘escrow’ (disimpan pihak ketiga) peguam iaitu Americk.

Kelmarin, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan PAS membayar RM1.4 juta kepada Rewcastle-Brown dan menegaskan beliau mempunyai bukti transaksi itu.

Americk tampil membuat pengesahan itu selepas Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hasan, mendakwa nombor akaun pada cek berkenaan, yang ada kaitan dengan penyelesaian di luar mahkamah berhubung kes saman Abdul Hadi terhadap Sarawak Report, sebagai palsu.

Rewcastle-Brown dipetik berkata beliau sebelum ini setuju dengan syarat yang diminta Abdul Hadi supaya kedua-dua pihak merahsiakan bayaran berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu tidak dapat dirahsiakan lagi apabila Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, menegaskan tiada bayaran dibuat.

Berita Harian X