Sabtu, 2 March 2019 | 6:41pm
KERETA suspek tersangkut pada kabel pembahagi jalan di Plaza tTol Kapar. - Foto ihsan polis
KERETA suspek tersangkut pada kabel pembahagi jalan di Plaza tTol Kapar. - Foto ihsan polis

Lelaki langgar kereta peronda polis elak ditahan

KLANG: Seorang lelaki cuba melarikan diri daripada dikejar polis sehingga melanggar kereta peronda berhampiran Plaza Tol Kapar, Lebuh Raya Grand Sepadu menghala ke Pelabuhan Klang, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi, suspek warga tempatan berusia 32 tahun juga didakwa cuba melanggar seorang anggota polis yang menghampiri kenderaan dipandunya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohd Khairi Shafie, berkata suspek bagaimanapun berjaya ditahan apabila kereta dipandunya tersangkut pada kabel pembahagi jalan.

“Pemeriksaan lanjut terhadap suspek kemudian menemui sejumlah syabu, ganja dan pil Erimin 5. Selain itu, hasil ujian saringan air kencing suspek didapati positif Methamphetamine dan Amphetamine.

DADAH yang dirampas dari seorang mekanik yang ditahan pihak polis di plaza tol Kapar. - Foto ihsan polis
DADAH yang dirampas dari seorang mekanik yang ditahan pihak polis di plaza tol Kapar. - Foto ihsan polis

“Semakan turut mendapati suspek memiliki enam rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah,” katanya kepada BH, hari ini.

Mohd Khairi berkata, kejadian berlaku apabila kereta peronda polis mengesan sebuah Proton Satria berwarna coklat dalam keadaan mencurigakan di Jalan Meru menuju ke Setia Alam.

“Anggota polis kemudian mengarahkan pemandunya menghentikan kenderaan, namun tidak diendahkan. Berikutan itu, anggota polis menghubungi bilik gerakan bagi meminta bantuan memintas kereta suspek.

“Kenderaan itu berjaya dihalang di Plaza Tol Kapar tetapi suspek melanggar bahagian depan kereta peronda,” katanya.

Beliau berkata, pihak polis melepaskan tujuh das tembakan ke arah kereta suspek bagi menghalangnya melarikan diri serta mempertahankan diri daripada dilanggar.

Katanya, suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh serta kesalahan dadah mengikut Seksyen 39 A (2), Seksyen 12 (2), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X