Selasa, 5 March 2019 | 12:45pm

Dakwaan seleweng dana: Tan Sri antara 3 pemimpin kuil direman

PUTRAJAYA: Tiga individu termasuk seorang bergelar Tan Sri dibenarkan direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung pembangunan sebidang tanah dimiliki kuil Sri Mahamariamman Devasthanam di Jalan Bandar, Kuala Lumpur.

Perintah dikeluarkan Majistret Nik Muizuddin Nik Muhammad di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Difahamkan, ketiga tiga individu berkenaan termasuk seorang pengurusan tinggi juga bertanggungjawab menguruskan kuil Hindu di Batu Caves, Selangor.

Penahanan mereka bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembangunan sebidang tanah milik kuil Sri Mahamariamman Devasthanam di Jalan Bandar di ibu negara.

Pagi tadi, sepasukan pegawai penyiasat SPRM menyerbu rumah pegawai tinggi berkenaan, selain menggeledah pejabat pengurusan kuil di Batu Caves.

Sebelum ini, seorang pemimpin PKR menggesa SPRM menyiasat pengurusan sebuah kuil berhubung dakwaan penyelewengan dana kerajaan dan penderma.

Kuil di Jalan Bandar itu adalah yang tertua di Kuala Lumpur dan diuruskan Lembaga Pengurusan Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam.

Lembaga berkenaan turut menguruskan Kuil Batu Malai Sri Subramaniar di Batu Caves dan Kuil Kortumalai Vinayagar di Persiaran Maybank.

SEORANG individu bergelar Tan Sri ditahan reman 3 hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung pembangunan sebidang tanah di Kuala Lumpur yang dimiliki kuil Sri Mahamariamman Devasthanam. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Berita Harian X