Khamis, 7 March 2019 | 11:36am
MOTOSIKAL yang ditunggang Muhammad Huzair Al-Hakim bersama adiknya yang berusia tiga tahun remuk selepas terbabas dan melanggar sebatang pokok di Jalan Sentral, Taman Nusa Sentral, Iskandar Puteri. - Foto IHSAN PDRM
MOTOSIKAL yang ditunggang Muhammad Huzair Al-Hakim bersama adiknya yang berusia tiga tahun remuk selepas terbabas dan melanggar sebatang pokok di Jalan Sentral, Taman Nusa Sentral, Iskandar Puteri. - Foto IHSAN PDRM

Kanak-kanak 3 tahun maut, abang parah jatuh motosikal

ISKANDAR PUTERI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut manakala abangnya berusia 15 tahun parah selepas motosikal dinaiki terbabas dan melanggar pokok di Jalan Sentral 28, Taman Nusa Sentral di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, berkata dalam kemalangan jam 2 pagi itu, Muhammad Izharul Haq Abdul Mutalib, yang parah di kepala dan badan meninggal dunia 11 jam kemudian ketika dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Katanya, abang mangsa yang masih kritikal sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama.

“Siasatan mendapati, kejadian berlaku ketika Muhammad Izharul Haq dibawa bersiar-siar oleh abangnya di kawasan berhampiran tempat bapa mereka berniaga.

“Dia yang duduk di dalam bakul hadapan, cedera parah selepas tercampak apabila motosikal itu terbabas dan melanggar pokok di bahagian kanan jalan” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, saksi kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X