Isnin, 11 March 2019 | 1:05pm
MANGSA terbaring dan disahkan meninggal dunia selepas dirempuh kereta jenis Nissan Sentra di Jalan Tempasuk 2, di Kota Belud. - Foto Ihsan Bomba
MANGSA terbaring dan disahkan meninggal dunia selepas dirempuh kereta jenis Nissan Sentra di Jalan Tempasuk 2, di Kota Belud. - Foto Ihsan Bomba

Seorang maut, dua parah dirempuh kereta ketika mahu ke sekolah

KOTA BELUD: Seorang kanak-kanak maut, manakala dua lagi parah dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki disyaki mabuk, ketika mahu ke sekolah di Jalan Tempasuk 2, Kampung Tempasuk 2, di sini, pagi tadi.

Dalam nahas jam 6.45 pagi, Max Christty, 10, yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tempasuk 2, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

KEADAAN kereta yang terbabas dan merempuh dinding rumah penduduk di Jalan Tempasuk 2, Kampung Tempasuk 2, Kota Belud . - Foto Ihsan Bomba
KEADAAN kereta yang terbabas dan merempuh dinding rumah penduduk di Jalan Tempasuk 2, Kampung Tempasuk 2, Kota Belud . - Foto Ihsan Bomba

Dua lagi mangsa, iaitu murid SK Tempasuk 2, Maxryona Masdi, 7, serta pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan 1, Michelle Marianne David, 14, yang juga parah di kepala kini dirawat di Hospital Kota Belud dan berada dalam keadaan kritikal.

Ketiga-tiga mangsa dilanggar ketika berdiri di bahu kanan jalan dan sedang menunggu kenderaan untuk ke sekolah.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah, berkata siasatan awal mendapati pemandu terbabit berusia 54 tahun dan bekerja sebagai petani, dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Tempasuk 2 dari arah Pekan Kota Belud.

“Sebaik tiba di kawasan rumah penduduk di lokasi kejadian, kereta dipandu lelaki itu dipercayai hilang kawalan lalu merempuh ketiga-tiga mangsa yang sedang berdiri di bahu kanan jalan dan menunggu kenderaan untuk ke sekolah.

“Kereta jenis Nissan Sentra itu kemudian terbabas dan melanggar bahagian tepi rumah jenis konkrit berhampiran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Akibat kemalangan itu, Mohd Zaidi berkata, pemandu terbabit mengalami kecederaan ringan pada bahagian dahi dan dirawat sebagai pesakit luar.

“Punca kejadian disebabkan pemandu disyaki memandu dalam keadaan mabuk dan ditahan selepas menerima rawatan.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 44(1) APJ 1952 kerana memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Belud, Rozlan Osman, berkata sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 6.53 pagi, seramai 10 anggota bergegas ke lokasi bersama sebuah jentera dan kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Beliau berkata, sebaik sahaja tiba, pihaknya mendapati kenderaan berkenaan terbabas di tepi rumah penduduk selepas merempuh tiga pejalan kaki di bahu kanan jalan.

“Pihak perubatan daripada Hospital Kota Belud yang tiba di lokasi mengesahkan salah seorang mangsa meninggal dunia, manakala dua lagi yang cedera parah dihantar oleh orang awam ke hospital sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya.

Berita Harian X