Khamis, 14 March 2019 | 11:36am
Najib hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur berhubung pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB. - NSTP/Rosdan Wahid

Kes 1MDB Najib, Arul didengar di Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR: Kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy berhubung pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB akan didengar di Mahkamah Tinggi.

Keputusan itu dibuat Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali di sini, hari ini, selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, tarikh pengurusan kes akan ditetapkan kemudian.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Amir Nasrudin memberitahu mahkamah permohonan memindahkan kes membabitkan Najib dan Arul dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi dilakukan mengikut Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah.

Kes itu akan disebut di depan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi pada 5 April depan bagi memaklumkan perkembangan terbaru ini.

Sementara itu, Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib dan Datuk N Sivananthan bertindak bagi pihak Arul tidak membantah permohonan pihak pendakwaan itu.

Pada 12 Disember lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan perlindungan daripada dikenakan tindakan tatatertib berhubung pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Mengikut pertuduhan, Najib didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB yang sedang disediakan dipinda sebelum ia dimuktamadkan dan dibentang kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) bagi melindungi dirinya daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berhubung syarikat pelaburan itu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Arul pula didakwa bersubahat dengan Najib untuk meminda laporan itu bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan berkenaan daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 28(1)(c) SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama dan memperuntukkan hukuman serupa.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya di antara 22 dan 26 Februari 2016.

Berita Harian X