Khamis, 14 March 2019 | 1:00pm

Polis kesan saksi kemalangan

PETALING JAYA: Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Petaling Jaya sedang mengesan saksi kes kemalangan membabitkan dua motosikal di Jalan 222, di sini, 28 Disember lalu.

Dalam kejadian berkenaan, seorang daripada penunggang motosikal itu, Mohammad Farid Ramley, 22, yang cedera parah di kepala disahkan maut ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), pada 1 Januari lalu.

Motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh sebuah lagi motosikal milik Muhammad Noor Abd Ghani, 44.

Muhammad Noor luka di muka, tangan serta patah pergelangan tangan kanan dan masih dirawat di PPUM.

Pada awalnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 namun ditukar kepada Seksyen 41(1) APJ 1987 berikutan perkembangan baharu membabitkan kematian penunggang berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan saksi, diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Mereka juga boleh berhubung terus dengan pegawai penyiasat BSPTD Petaling Jaya, Mohd Nazreen Nasharuddin di talian 010-2105101.

Berita Harian X