Jumaat, 15 March 2019 | 9:10pm
KEADAAN Sungai Kim Kim yang tercemar dengan sisa kimia. - Foto Adi Safri

Dua wartawan alami Simptom Kim Kim

PASIR GUDANG: Dua wartawan Media Prima Bhd yang membuat liputan pencemaran sisa kimia berbahaya di Sungai Kim Kim, di sini, menjadi mangsa terbaharu kes berkenaan.

Wartawan Harian Metro, Mary Victoria Dass, dan Ketua Biro TV3 Johor, Zahir Senapiah, terpaksa mendapatkan rawatan susulan selepas mengalami simptom mangsa pencemaran kes itu, termasuk muntah, loya dan pening.

Mary berkata, beliau terpaksa mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar selepas hidungnya berdarah, sakit tekak, loya dan pening ketika membuat liputan di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), pagi tadi.

Katanya, beliau mula menyedari mengalami simptom gas beracun dari Sungai Kim Kim selepas terasa loya dan hidung berdarah malam tadi ketika berehat di rumah.

“Saya beranggapan mungkin sebab cuaca panas menyebabkan saya bertugas hari ini, bagaimanapun tiba-tiba hidung berdarah lagi kira-kira jam 10 pagi tadi,” katanya sebelum mendapatkan rawatan di klinik berhampiran.

Mary petugas media ketiga yang mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar akibat ‘Simptom Kim Kim’ selepas wartawan Astro Awani, Ernalisa Othman, yang alami loya, pening dan muntah Rabu lalu.

Ketua Biro TV3 Johor, Zahir Senapiah turut menjadi mangsa ‘Simptom Kim Kim’, apabila muntah-muntah ketika berehat di rumah selepas pulang dari membuat liputan di sekitar Pasir Gudang, Rabu lalu.

Hampir semua petugas media yang berada di lokasi membuat liputan sejak Khamis minggu lalu mengalami sakit tekak, pening dan sakit dada cuma tahapnya berbeza mengikut keadaan masing-masing.

Berita Harian X