Sabtu, 16 March 2019 | 12:54pm
MUS Muliady Mustaffa menjaga adiknya, Mohd Firdaus yang terlantar akibat tumor otak. - Foto Noor Hidayah Tanzizi

Kasih abang tak kira masa

SERI MANJUNG: Walaupun sibuk dengan tugas sebagai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), naluri Bintara Kanan Mus Muliady Mustaffa, 34, sebagai abang melebihi segalanya apabila sanggup berkorban masa menjaga adiknya yang terlantar sakit akibat tumor otak.

Mus Muliady dan isteri, Siti Aishah Neizam, 31, sanggup berkorban demi memberikan sepenuh perhatian pada Mohd Firdaus Mustaffa, 30, yang sudah tidak lagi mampu menguruskan dirinya sendiri.

Mohd Firdaus juga mengalami masalah angin ahmar pada bahagian badan sebelah kiri dan hanya terbaring di atas katil dengan segala urusan hariannya diuruskan abang dan kakak iparnya.

Mus Muliasy berkata, adiknya itu dikesan mempunyai tumor otak pada September 2017 di Hospital Sungai Buloh, Selangor, selepas kerap sakit kepala dan hilang keseimbangan badan sejak Julai tahun sama.

“Tumor itu masih ada walaupun adik sudah menjalani tiga pembedahan tahun lalu dan sekarang kami masih menunggu keputusan Pemeriksaan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan jika tumornya membesar kemungkinan dia perlu dibedah lagi.

“Tumor itu turut mengganggu saraf mata, pendengaran dan sistem serta pergerakan tangannya selain bernafas melalui tiub di tekaknya kerana tidak boleh bernafas secara normal,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Manjung Point Seksyen 1 di sini.

Mus Muliady berkata, sejak disahkan mempunyai tumor otak, pergerakan adiknya terjejas sedikit demi sedikit sehingga tidak lagi mampu menguruskan diri sejak akhir November 2017.

Katanya, rutin harian sebelum keluar bekerja adalah menguruskan adiknya itu sebelum tugas itu diambil alih isterinya sepanjang dia bekerja.

“Saya tidak pernah menganggap menguruskan adik sebagai beban kerana tanggungjawab dan kasih sayang adik-beradik itu melebihi segalanya, malah pesanan arwah emak yang mahu kami saling membantu sentiasa diingati.

“Adik terpaksa menggunakan tiub untuk minum serta bergantung dengan susu khas dengan memerlukan satu tin kecil sehari yang berharga kira-kira RM50 selain memakai lampin pakai buang, perbelanjaan bulanan adalah sebanyak RM1,700 tidak termasuk kos ulang-alik ke Hospital Sungai Buloh dan Hospital Seri Manjung,” katanya.

Mus Muliady berkata, beliau bersyukur kerana adiknya itu menerima pencen ilat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan bantuan lampin pakai buang, susu dan beg kencing daripada agensi itu.

“Wang itu digunakan sepenuhnya untuk tambahan keperluan bulanannya dan setakat ini kami tak pernah lagi terputus bekalan keperluan dia...mana yang tak cukup saya akan usaha juga,” katanya.

Katanya, buat masa ini keutamaannya adalah menjaga adiknya dan sebab itu dia dan isteri mengambil keputusan untuk menangguhkan rawatan alternatif bagi mendapatkan zuriat.

“Untuk tidak mengganggu proses rawatan, kami sepakat menangguhkan dulu rawatan dan apabila adik sudah sihat kami akan meneruskan rancangan itu kerana sukar nak tinggalkan dia, malah Mohd Firdaus sendiri lebih selesa jika saya yang uruskan dia,” katanya yang sudah berkahwin selama tujuh tahun.

Katanya, beliau bersyukur isterinya sentiasa memberi sokongan dan bersama-sama membantu menguruskan Mohd Firdaus selain bantuan rakan, jiran, majikan dan ahli keluarga termasuk bapa mereka.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun Maybank 158293761588 Mohd Firdaus Mustaffa.

Berita Harian X