Ahad, 17 March 2019 | 8:30pm
Pasukan penyelamat menemui buaya berukuran hampir lima meter panjang yang sudah mati di sungai di Ladang Zumida Oil Palm Sdn Bhd di Bintangor. - Ihsan Bomba
Pasukan penyelamat menemui buaya berukuran hampir lima meter panjang yang sudah mati di sungai di Ladang Zumida Oil Palm Sdn Bhd di Bintangor. - Ihsan Bomba
Cebisan tulang manusia dipercayai warga Indonesia yang hilang sejak seminggu lalu ditemui di dalam perut buaya. - Ihsan Bomba
Cebisan tulang manusia dipercayai warga Indonesia yang hilang sejak seminggu lalu ditemui di dalam perut buaya. - Ihsan Bomba

Tulang manusia dalam perut buaya

BINTANGOR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki warga Indonesia yang dilaporkan hilang sejak minggu lalu berakhir dengan penemuan cebisan tulang manusia, dipercayai milik mangsa di dalam perut buaya, hari ini.

Buaya berkenaan berukuran hampir lima meter panjang yang sudah mati ditemui oleh seorang pawang yang turut serta dalam operasi SAR sejak seminggu lalu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pemeriksaan kemudiannya mendapati buaya berkenaan dipercayai mati selepas memakan umpan yang dipasang pawang berkenaan.

Beliau berkata, berikutan penemuan bangkai buaya itu, keputusan diambil untuk membelah perutnya bagi mencari mangsa yang dipercayai dibahamnya.

“Satu pasukan terdiri daripada JBPM, polis, Jabatan Hutan Sarawak dan Polis Bantuan serta pekerja Zumida Oil Palm Sdn Bhd ditubuhkan untuk melakukan pengecaman mangsa.

“Perut buaya itu kemudiannya dibelah oleh pihak polis serta JHS dan menemui beberapa cebisan tulang dan rangka manusia ditemui dalam perut buaya berkenaan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Berikutan itu, operasi SAR mangsa yang dilancarkan sejak 10 Mac lalu ditamatkan pada jam 4 petang tadi.

Mangsa dikenal pasti sebagai Yosef Tesu, berusia 20-an dilaporkan hilang di sungai di Ladang Zumida Oil Palm Sdb Bhd.

Berita Harian X