Isnin, 18 March 2019 | 1:14pm
- Foto Hiasan
- Foto Hiasan

Kanak-kanak ditemui lemas akibat tergelincir di jeti

BINTULU: Keseronokan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun bermain di Jeti Sungai Sebiew, di sini berakhir tragedi selepas ditemui lemas petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 2.52 petang berhampiran kawasan setinggan di Batu 2, Jalan Sultan Iskandar ketika kanak-kanak berkenaan sedang leka bermain sebelum tergelincir.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Mohamad Meramit, berkata lapan anggota bersama dua jentera bomba, termasuk Unit Khidmat Rawatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat itu.

Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian, anggota bertugas mendapati kanak-kanak malang itu, Raymond Machan Elizabeth Gandu, 2, sudah ditemui keluarga mereka, namun tidak sedarkan diri.

“Anggota EMRS kemudian melakukan bantuan pernafasan (CPR) bagi menyelamatkan nyawa mangsa sebelum dikejarkan ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, mangsa dikatakan tidak memberi sebarang respons sebelum disahkan meninggal dunia pada 3.20 petang semalam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Bintulu untuk bedah siasat ujian pemeriksaan serta bedah siasat.

Berita Harian X