Rabu, 20 March 2019 | 6:55pm
KETUA Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din. - NSTP/Asyraf Hamzah
KETUA Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din. - NSTP/Asyraf Hamzah

Tiga suspek samun kereta ditahan

PETALING JAYA: Tiga suspek termasuk seorang remaja disyaki terbabit dengan kes samun kenderaan mewah, diberkas polis dalam serbuan di Dataran Pelangi Utama, Ara Damansara, dekat sini, pagi tadi.

Turut dirampas, sepucuk pistol jenis Revolver .38 bersama sebutir peluru, masing-masing sebilah parang dan kapak dan sebuah kereta jenis Toyota Camry.

Sumber berkata, tangkapan ke atas lelaki berusia antara 19 hingga 40 tahun itu dibuat sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Bukit Aman menerusi Ops Api Petani, kira-kira jam 9.50 pagi, susulan maklumat dan risikan.

Katanya, pemeriksaan ke atas kenderaan terbabit mendapati ia adalah kereta curi bersangkut laporan di Sungai Petani, Kedah.

“Semua suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din ketika dihubungi mengesahkan tangkapan ketiga-tiga suspek.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.

Berita Harian X