Khamis, 21 March 2019 | 6:48pm
PEGUAM bela tertuduh juvana, Hisyam Teh Poh Teik ketika hadir berhubung kes bunuh Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan di Kompleks Mahkamah Shah Alam. - NSTP/Sairien Nafis
PEGUAM bela tertuduh juvana, Hisyam Teh Poh Teik ketika hadir berhubung kes bunuh Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan di Kompleks Mahkamah Shah Alam. - NSTP/Sairien Nafis

Permohonan jamin 2 tertuduh kes bunuh Nazrin diputuskan Rabu ini

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 27 Mac ini untuk keputusan permohonan jamin bagi dua tertuduh juvana kes bunuh Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund), Nazrin Hassan.

Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman, membuat keputusan itu selepas mendengar hujah daripada peguam bela, LS Leonard, Salim Bashir dan Hisyam Teh Poh Teik serta Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Jamil Aripin.

Katanya, beliau perlu meneliti hujahan dan afidavit yang difailkan kedua-dua pihak.

“Saya memerlukan masa kerana kes ini rumit dan penting,” katanya.

Sebelum itu, Hisham, ketika berhujah berkata kedua-dua tertuduh juvana itu adalah pelajar cemerlang bidang akademik, kokurikulum dan sukan di sebuah sekolah elit di ibu negara selain mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Beliau berkata tertuduh juvana berusia 14 tahun itu juga pernah menjadi juara dalam acara sukan memanah.

Katanya, ada surat sokongan daripada sekolah yang menyatakan kedua-dua tertuduh juvana itu adalah pelajar yang baik dan tidak memalukan sekolah.

Beliau berkata, tertuduh juvana yang berusia 16 tahun sembilan bulan akan menduduki peperiksaan tahun ini.

Hisham juga berkata, pada tarikh terdahulu, pihaknya memaklumkan kepada mahkamah mengenai aduan tertuduh juvana berusia 14 tahun yang menyatakan dia mengalami serangan seksual dan fizikal.

Sementara itu, Jamil berkata kedua-dua tertuduh juvana itu didakwa dengan pertuduhan yang tidak boleh dijamin dan tidak ada alasan luar biasa untuk permohonan jaminan dibuat.

Pada masa sama, katanya, ada percanggahan antara laporan polis yang dibuat pada 12 Mac lalu mengenai dakwaan serangan seksual dan fizikal terhadap tertuduh juvana berusia 14 tahun dengan afidavit yang difailkan semalam.

Selain itu, katanya, pengetua sebuah asrama kebajikan di Kuala Lumpur ada memfailkan afidavit menyatakan bahawa bapa kandung tertuduh juvana itu dibenarkan menemui anaknya dalam tiga pertemuan iaitu pada 5, 8 dan 11 Mac lalu selama tiga puluh minit.

Bagaimanapun, katanya, selepas ketiga-tiga pertemuan itu, bapa kandungnya tidak ada memaklumkan kepada pengetua mengenai aduan remaja itu dipukul dan sebagainya, sebaliknya berterima kasih kerana membenarkan beliau menemui anaknya.

Beliau juga berhujah, sebagai seorang yang celik undang-undang, bapa kandung tertuduh juvana itu sepatutnya melaporkan kejadian anaknya menerima serangan seksual kepada polis dan bukan mengadu di mahkamah.

Pada 12 Mac lalu, balu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Allahyarham Nazrin Hassan, serta dua remaja lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi, di sini, atas pertuduhan membunuh lelaki itu, Jun tahun lalu.

Bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Samirah Muzaffar, 44, serta dua remaja lelaki masing-masing berusia 16 tahun dan 13 tahun itu membuat pengakuan berkenaan di hadapan Ab Karim .

Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, ketiga-tiga tertuduh didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, warga Indonesia Eka Wahyu Lestari, dengan niat bersama melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Nazrin, 45, di sebuah rumah di Mutiara Homes, antara jam 11.30 malam 13 Jun 2018 hingga 4 pagi 14 Jun 2018.

Berita Harian X