Sabtu, 23 March 2019 | 12:52pm

Budak OKU mati terjatuh tingkat 4

BUKIT MERTAJAM: Seorang kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) ditemui mati selepas terjatuh dari tingkat empat di rumahnya di Flat Taman Limau Manis, Bukit Tengah, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 itu, mangsa, S Raajveer, 9, yang juga OKU mental sejak bayi terjatuh selepas memanjat tingkap dapur rumahnya yang tidak berjeriji.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata tindakan mangsa memanjat tingkap dapur itu disedari ibu saudaranya yang gagal untuk menarik mangsa.

“Ibu saudara mangsa nampak kanak-kanak itu seperti hendak terjun daripada tingkap tetapi tidak sempat untuk menarik mangsa.

“Mangsa adalah anak sulung daripada tiga beradik dan mereka sekeluarga tinggal bersama ibu saudara berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Nik Ros Azhan berkata, siasatan di sekitar rumah mangsa tidak menemui sebarang unsur jenayah dan semua saksi sudah diambil rakaman percakapan.

“Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

328 dibaca
Berita Harian X