Rabu, 27 March 2019 | 4:33pm
PEGUAM bela tertuduh juvana, Hisyam Teh Poh Teik (dua kanan) ketika hadir keputusan permohonan jaminan dua tertuduh juvana kes bunuh CEO Cradle Fund, Nazrin Hassan di Kompleks Mahkamah Shah Alam. - Foto Sairien Nafis
PEGUAM bela tertuduh juvana, Hisyam Teh Poh Teik (dua kanan) ketika hadir keputusan permohonan jaminan dua tertuduh juvana kes bunuh CEO Cradle Fund, Nazrin Hassan di Kompleks Mahkamah Shah Alam. - Foto Sairien Nafis

Mahkamah benarkan 2 tertuduh juvana bebas dengan jaminan

SHAH ALAM: Dua tertuduh juvana dalam kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan, tahun lalu, dibebaskan dengan jaminan RM50,000 bersama dua penjamin berbeza bagi setiap tertuduh.

Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman membuat keputusan itu terhadap permohonan jaminan yang difailkan bapa kandung kedua-dua tertuduh juvana itu sebelum ini.

Beliau turut mengenakan lapan jaminan syarat tambahan terhadap kedua-dua mereka termasuk tertuduh juvana itu tidak boleh dijamin oleh ahli keluarga yang akan menjadi saksi pendakwaan atau tinggal bersama-sama dengan mereka.

Katanya, kedua-dua mereka perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap minggu.

Ab Karim berkata, kedua-dua tertuduh juvana itu juga perlu berada di kediaman mereka antara jam 6 petang hingga 6 pagi setiap hari serta tidak boleh berada di tempat awam kecuali atas alasan keagamaan dan pembelajaran.

"Kanak-kanak ini juga tidak dibenarkan meninggalkan daerah kediaman mereka tanpa kebenaran mahkamah.

"Kedua-dua mereka tidak boleh ke luar negara. Mereka perlu menyerahkan pasport antarabangsa untuk disimpan oleh mahkamah.

"Mereka juga tidak boleh dijamin oleh ahli keluarga yang menjadi saksi pendakwaan," katanya.

Ab Hakim turut mengarahkan penjamin berjanji untuk mengawasi mereka dan memastikan mereka hadir di mahkamah setiap kali perbicaraan.

Terdahulu, ketika membacakan penghakimannya, Ab Hakim berkata, andaian tidak bersalah masih berpihak kepada tertuduh juvana itu.

Katanya, memberikan jaminan terhadap kes bunuh bukanlah satu amalan luar biasa bagi mahkamah.

Beliau berkata, ketika kejadian dan ketika didakwa, seorang daripada tertuduh juvana itu masih bawah umur 16 tahun manakala abangnya kini sudah melepasi usia 16 tahun.

Katanya, berdasarkan peruntukan Seksyen 388 (1) Kanun Prosedur Jenayah, membabitkan budi bicara mahkamah ketika pemberian jaminan untuk kesalahan tidak boleh jamin, usia tertuduh juvana ketika kejadian perlu diambil kira.

"Malah, dalam peruntukan hukuman bagi seorang kanak-kanak yang disabitkan dengan hukuman mati, hukuman mati itu tidak boleh dijalankan kerana mereka bawah umur.

"Mahkamah bersetuju bahawa berdasarkan usia dan latar belakang, jika dilepaskan dengan jaminan, mereka tidak akan menghilangkan diri semasa perbicaraan atau mengganggu saksi," katanya.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Jamil Aripin manakala pembelaan diwakili Hisyam Teh Poh Teik.

Pada 12 Mac lalu, balu Nazrin, serta dua remaja lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi, di sini, atas pertuduhan membunuh lelaki itu, Jun tahun lalu.

Bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Samirah Muzaffar, 44, serta dua remaja lelaki masing-masing berusia 16 tahun dan 13 tahun itu membuat pengakuan berkenaan di hadapan Ab Karim.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, ketiga-tiga tertuduh didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, warga Indonesia Eka Wahyu Lestari, dengan niat bersama melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Nazrin, 45, di sebuah rumah di Mutiara Homes, antara jam 11.30 malam 13 Jun 2018 hingga 4 pagi 14 Jun 2018.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X