Khamis, 28 March 2019 | 8:55pm
Seorang pemandu maut manakala 14 cedera termasuk enam parah dalam kemalangan di Batu 4, Jalan Tapah-Cameron Highlands. - Ihsan PDRM
Seorang pemandu maut manakala 14 cedera termasuk enam parah dalam kemalangan di Batu 4, Jalan Tapah-Cameron Highlands. - Ihsan PDRM

Seorang maut, 14 cedera kemalangan

TAPAH: Seorang pemandu maut manakala 14 cedera termasuk enam parah dalam kemalangan membabitkan kereta Perodua Alza dan Honda Stream di Batu 4, Jalan Tapah-Cameron Highlands di sini, hari ini.

Dalam kemalangan itu, pemandu Perodua Alza, Mohd Ayup AB Rahman, 55, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tapah selepas parah.

Difahamkan, kemalangan itu turut mengakibatkan lapan penumpang Perodua Alza dan enam penumpang termasuk pemandu Honda Stream cedera termasuk ada yang parah manakala hanya seorang yang tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail, berkata siasatan awal mendapati kereta Perodua Alza dinaiki sembilan orang itu dalam perjalanan menuju ke Cameron Highlands.

“Apabila sampai di tempat kejadian, Perodua Alza berkenaan dipercayai dilanggar Honda Stream yang datang dari arah bertentangan dan kemalangan itu menyebabkan pemandu Perodua Alza meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tapah.

“Kemalangan itu turut mengakibatkan 14 mangsa kesemuanya cedera serta parah dan dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Wan Azharuddin berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X