Jumaat, 29 March 2019 | 4:35pm

Lemas ketika mahu cuci kaki

MIRI: Seorang kanak-kanak lelaki lemas selepas terjatuh ke dalam sebuah Loji Rawatan Air di Jalan Miri-Bintulu di Lambir, di sini, hari ini.

Kejadian jam 12 tengah hari itu berlaku ketika Hairil Iskandar, 11, dikatakan ingin mencuci kakinya selepas selesai berjoging bersama tiga rakannya.

Bagaimanapun, mangsa yang berasal dari Kampung Lambir tergelincir lalu terjatuh ke dalam loji dengan kedalaman kira-kira tujuh meter.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.16 tengah hari dan sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri dan enam anggota BBP Lopeng terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Operasi turut dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bomba dengan kekuatan 11 anggota,” katanya.

Katanya, mayat mangsa ditemui pada jam 2.54 petang selepas pencarian dilakukan di kedalaman sehingga empat meter di loji berkenaan.

“Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Berita Harian X