Sabtu, 30 March 2019 | 3:29pm
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat memantau keadaan kawasan hutan belukar pantai seluas 1.21 hektar yang terbakar akibat cuaca panas dan kering di Taman Perindustrian Samalaju (TPS), Bintulu. - Foto Erika George
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat memantau keadaan kawasan hutan belukar pantai seluas 1.21 hektar yang terbakar akibat cuaca panas dan kering di Taman Perindustrian Samalaju (TPS), Bintulu. - Foto Erika George

1.21 hektar hutan belukar pantai musnah terbakar

BINTULU: Seluas 1.21 hektar kawasan hutan belukar pantai di Taman Perindustrian Samalaju (TPS), di sini, terbakar akibat cuaca panas dan kering, sejak petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Samalaju, Morshidi Hashim, berkata cuaca panas melampau yang melanda wilayah tengah Sarawak lebih dua minggu lalu dipercayai menjadi penyumbang utama kebakaran di kawasan berkenaan.

“Pihak bomba menerima maklumat berkenaan kebakaran terbabit pada jam 5.06 petang semalam dan kami mengerahkan seramai enam anggota menggunakan sebuah jentera.

Bangunan JAPERUN Tanjung Bidara sudah dikosongkan.
Bangunan JAPERUN Tanjung Bidara sudah dikosongkan.

“Pihak bomba mengambil masa selama tiga jam bagi mengawal kebakaran menggunakan empat unit pemerap api. Api dapat dipadamkan sepenuhnya pada jam 7.30 malam,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya api gagal dikawal, bahang panas dijangka merebak hingga ke kawasan bulatan besar di Kampung Kuala Nyalau, di sini.

“Jadi, pihak bomba mengingatkan agar penduduk di kawasan Bintulu tidak melakukan pembakaran terbuka walaupun membabitkan api yang kecil. Jangan sesekali memandang remeh nasihat ini kerana kesannya cukup besar,” katanya.

Katanya, pihak bomba hanya beredar daripada kawasan kejadian selepas keadaan di kawasan itu disahkan betul-betul selamat.

“Kami mengambil sedikit masa memantau kesemua kawasan yang terjejas agar sebarang punca api mahupun sekecil mana sekali pun dipadamkan sepenuhnya bagi mengelak kejadian berulang,” katanya.

Berita Harian X