Isnin, 1 April 2019 | 12:15am

Mak gembira luar biasa

MARAN: Tingkah laku Hashimah Ismail, 66, yang maut bersama empat ahli keluarganya di Kilometer 101, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, hari ini, kelihatan agak berlainan ketika menghadiri majlis perkahwinan cucu tirinya, kelmarin.

Dia kelihatan terlalu gembira dan sering ketawa sehingga mengeluarkan air mata.

Anak tirinya, Zaili Mohd Noor, 51, berkata dia menyedari ibu tirinya gembira di luar kebiasaannya ketika majlis perkahwinan anaknya, Mohd Iqbal Zaili, 27, di Hulu Langat, Selangor.

“Saya fikir mungkin mak terlalu gembira berjumpa dengan anak-anak serta saudara mara yang lain, dia sering sahaja ketawa.

“Mak memang seorang yang periang dan ceria namun semalam dia kelihatan agak berlainan, rupanya itu petanda dia akan pergi meninggalkan kami,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Jengka, di sini, hari ini.

Keluarga mangsa, Azman Abdul Ghani, menunjukkan foto mangsa yang maut selepas terbabit dalam kemalangan tiga kenderaan di Batu 13, Jalan Maran Temerloh ketika ditemui di perkarangan unit Forensik Hospital Jengka. - Foto Farizul Hafiz Awang

Antara mangsa yang maut, Mohd Noor Che Mat serta isteri, Hashimah Ismail selepas terbabit dalam kemalangan tiga kenderaan di Batu 13, Jalan Maran Temerloh. - Foto ihsan keluarga

Kejadian jam 2.30 petang itu turut mengorbankan suami Hashimah, Mohd Noor Che Mat, 78, anak tirinya, Norsuraya Mohd Noor, 30, bersama suaminya Musa Abdullah, 31, serta anak lelaki mereka Muhammad Zulkarnain, 3.

Seorang lagi anak Norsuraya, Nur Quraitun Ain, 5, parah dan kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.

Kejadian itu berlaku apabila kereta Perodua Myvi yang dipandu Norsuraya dikatakan hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bergesel dengan Proton Iswara sebelum bertembung dengan Toyota Hilux.

Difahamkan Norsuraya sedang hamil tiga bulan anak ketiganya.

Zaili berkata, nahas berlaku ketika enam sekeluarga itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di FELDA Jengka 6 dan mereka berkonvoi dengan menaiki dua kenderaan.

“Kami bersama-sama keluar di Plaza Tol Lanchang dan menikmati makan tengah hari di pekan Lanchang sebelum saya meneruskan perjalanan pulang ke rumah di Mentakab manakala mereka ke (FELDA) Jengka 6.

Anak mangsa kemalangan maut, Sabarina Ismail (tengah) ketika ditemui di perkarangan unit Forensik Hospital Jengka. - Foto Farizul Hafiz Awang

Salah seorang mangsa yang maut selepas terbabit dalam kemalangan yang membabitkan tiga kenderaan di Batu 13, Jalan Maran Temerloh ketika di unit Forensik Hospital Jengka untuk proses bedah siasat. - Foto Farizul Hafiz Awang

“Namun selepas tiba di rumah pada jam 3.30 petang saya dimaklumkan oleh seorang adik saya yang mereka terbabit dalam kemalangan dan saya terus bergegas ke hospital,” katanya.

Sementara itu, seorang anak Hashimah, Sabarina Ismail, 43, berkata dia dan dua kakaknya sempat mendapat hadiah terakhir dari ibu iaitu kain batik yang dibeli menerusi program beli belah di televisyen.

“Biasanya apabila membeli, dia akan teruja menunggu barangnya sampai dan selalu bertanya sama ada barang sudah sampai atau belum. Tapi kali ini dia kata dia tidak mahu dan menyerahkannya kepada kami.

“Setiap kali melihat kain batik itu, pasti saya akan sayu kerana ia adalah peninggalan terakhir mak buat tiga anak perempuannya,” katanya ditemui di Unit Forensik Hospital Jengka, di sini.

Jenazah Mohd Noor dan Norsuraya sekeluarga dikebumikan di tanah perkuburan FELDA Jengka 6 manakala jenazah Hashimah dikebumikan di Kampung Batu 9, Sungai Kepong, Lanchang malam ini.

Berita Harian X