Isnin, 1 April 2019 | 7:05pm
DATUK Seri Najib Razak keluar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - NSTP/Hafiz Sohaimi
DATUK Seri Najib Razak keluar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - NSTP/Hafiz Sohaimi

Najib fail semakan keputusan Mahkamah Persekutuan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini, memfailkan permohonan semakan keputusan Mahkamah Persekutuan yang tidak membenarkan beliau menangguhkan lagi perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Perkara itu dimaklumkan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib ketika sebutan semula kes rasuah membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Terdahulu, Harvinderjit memberitahu mahkamah pihaknya memfailkan permohonan itu di Mahkamah Persekutuan pagi tadi, namun, tiada tarikh ditetapkan.

Pada prosiding itu juga, pihak pendakwaan diketuai Tan Sri Gopal Sri Ram, memaklumkan mahkamah yang Peguam Negara sudah menulis surat kepada Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim, memohon supaya keutamaan diberikan terhadap perbicaraan kes SRC International.

“Hari ini, kami menerima surat balasan daripada Hakim Besar Malaya berhubung perkara itu namun dimaklumkan bahawa keputusan untuk menangguhkan terletak pada budi bicara mahkamah ini,” katanya.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 5 April ini untuk pengurusan kes dan minggu pertama bulan Mei untuk perbicaraan kes 1MDB sekiranya kes membabitkan SRC International dilapangkan.

“Saya akan membenarkan penangguhan, namun ia tertakluk kepada kesesuaian tarikh Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang akan mendengar perbicaraan kes SRC International,” katanya.

Pada 27 Mac lalu, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan perbicaraan kes membabitkan SRC Intertional ditangguhkan.

Panel tujuh hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum, dalam keputusannya berkata Mahkamah Rayuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk memerintahkan perbicaraan kes itu ditangguhkan.

Pada 20 September 2018, Najib, 66, mengaku tidak bersalah terhadap 25 pertuduhan termasuk empat tuduhan salah guna kedudukan dan 21 pertuduhan membabitkan aktiviti penggubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion.

Berita Harian X