Rabu, 3 April 2019 | 10:31pm
GAMBAR fail, keadaan terkini Sungai Golok yang memisahkan antara Malaysia dengan Thailand di Kampung Pangkalan Pasir, Cabang Tiga Bagus, Rantau Panjang. - Foto Zaman Huri Isa
GAMBAR fail, keadaan terkini Sungai Golok yang memisahkan antara Malaysia dengan Thailand di Kampung Pangkalan Pasir, Cabang Tiga Bagus, Rantau Panjang. - Foto Zaman Huri Isa

Polis Thailand tahan 24 warga Myanmar cuba seludup masuk Malaysia

SONGKHLA: Polis Thailand hari ini menahan 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang cuba menyeludup masuk ke Malaysia melalui sempadan Malaysia-Thailand di Sungai Golok, Narathiwat.

Ketua Polis Bahagian Pencegahan Kanak-kanak, Wanita, Keluarga dan Pembasmian Pemerdagangan Manusia, Jen Pol Suchart Tirasawad, berkata dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi (waktu tempatan), polis yang membuat sekatan jalan mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda mencurigakan di kawasan Khokmao, Daerah Hatyai.

“Kenderaan itu cuba lari dari sekatan jalan raya, namun polis berjaya menahannya dan menemui 15 warga Myanmar termasuk seorang wanita berhimpit-himpit dalam pacuan empat roda itu,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata, polis juga menahan dua lelaki warga tempatan yang juga pemandu pacuan empat roda dan seorang “tonto” yang membantu dan melindungi penyeludupan PATI.

Katanya, seorang suspek juga cuba merasuah anggota polis untuk membebaskan semua 15 PATI itu dengan 100,000 baht.

Sementara itu, Suchart berkata, dalam satu lagi tangkapan di sebuah kediaman pekerja yang terletak tidak jauh dari tempat kejadian itu tidak lama kemudian, polis menahan sembilan lagi PATI warga Myanmar, termasuk empat wanita yang semuanya dipercayai dari kumpulan sama.

“Suspek mengakui sebelum ini pernah terbabit dalam membawa masuk PATI ke Malaysia,” katanya dan menambah siasatan mendapati semua PATI berumur antara 20 hingga 45 tahun itu membayar 1,300 baht untuk masuk ke Malaysia secara haram. – BERNAMA

Berita Harian X