Selasa, 9 April 2019 | 3:09pm
TINJAUAN tapak perniagaan tanpa lesen di sekitar Pasar Borong Selayang. - Foto Zulfadhli Zulkifli

DBKL akui wujud 'kutipan sewa haram'

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengakui kewujudan 'kutipan sewa haram' oleh pihak tertentu di tapak perniagaan haram di luar Pasar Borong Lama Selayang, dekat sini.

Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosio-Ekonomi) DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff mengesahkan perkara itu berkata, ia sukar dibendung selagi ada pembabitan peniaga tempatan yang bertindak melindungi peniaga asing berkenaan.

Beliau memberi contoh, beberapa hari lalu DBKL melancarkan operasi menyita tapak niaga haram di pasar berkenaan tetapi peniaga asing masih meneruskan perniagaan di tempat sama keesokannya.

Perlu kerjasama semua pihak

“Usaha membanteras kegiatan monopoli perniagaan warga asing di pasar borong sukar dilaksanakan tanpa ada kerjasama semua pihak.

“Contohnya, tindakan penguatkuasaan DBKL perlu selari tindakan pengusiran peniaga rakyat asing oleh Imigresen. Pada masa sama, orang tempatan perlu menutup semua ruang dan peluang kepada warga asing berniaga di pasar ini.

“Walaupun berhadapan kekangan penguat kuasa DBKL yang berjumlah 100 orang, namun ia tidak mematahkan usaha DBKL dalam mempergiatkan operasi secara konsisten bagi membanteras kegiatan monopoli peniaga asing di wilayah ini,” katanya ketika dihubungi BH.

Semalam, akhbar ini mendedahkan kumpulan kongsi gelap dipercayai menjadi pelindung kepada pendatang asing di kebanyakan pasar borong, terutama di Lembah Klang bagi memastikan perniagaan mereka ‘kebal’ daripada tindakan pihak berkuasa.

Siasatan wartawan BH ke atas beberapa peniaga asing di pasar borong lama Selayang mendapati mereka dikenakan ‘wang perlindungan’ atas nama sewa harian serendah RM50 bagi satu tapak.

Kutip wang perlindungan

Malah, wang perlindungan yang dikutip setiap hari ada yang mencecah RM200 sehari bergantung kedudukan tapak yang biasanya lebih tinggi jika terletak di laluan utama ke pintu masuk pasar.

Kongsi gelap mampu meraih antara RM120,000 hingga RM480,000 sebulan bagi satu pasar bo rong hasil sewa tapak haram dan kutipan wang perlindungan.

Sementara itu, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) ketika di hubungi BH memaklumkan, pihaknya tidak menerima maklumat mengenai kegiatan kutipan sewa di tapak perniagaan haram berkenaan.

“MPS tiada menerima apa-apa aduan mengenai perkara itu dan sekiranya kegiatan itu benar-benar wujud, mungkin ia dilakukan sesama peniaga dan ia di luar bidang kuasa majlis.

“Bagaimanapun, pada waktu terdekat, kami akan melakukan operasi merobohkan tapak perniagaan haram di luar pasar berkenaan,” katanya.

Pasar Borong Lama Selayang terletak di bawah bidang kuasa DBKL, manakala pasar raya harian swasta dan bangunan rumah kedai yang bertentangan dengan pasar borong adalah di bawah pentadbiran MPS.

Berita Harian X