Rabu, 10 April 2019 | 1:42pm
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat memeriksa tiga buah rumah yang terbakar dalam kebakaran di Taman Kempas. - NSTP/Nor Farhani Che Ad
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat memeriksa tiga buah rumah yang terbakar dalam kebakaran di Taman Kempas. - NSTP/Nor Farhani Che Ad

Jeritan jiran selamatkan lelaki jadi korban kebakaran

SUNGAI PETANI: Jeritan jiran menyelamatkan seorang mangsa kebakaran daripada menjadi korban dalam kebakaran tiga buah rumah setingkat di Taman Kempas, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 10 pagi, mangsa, Mohd Khairul Amri Rosli, 22, sedang tidur ketika 60 peratus rumahnya musnah dalam kebakaran.

“Ketika itu saya sedang tidur sebelum terkejut apabila mendengar jeritan penduduk dari luar yang mengatakan ada api.

“Kebetulan seorang rakan datang ke rumah waktu itu dan mengejutkan saya untuk keluar menyelamatkan diri. Saya benar-benar bersyukur...jeritan jiran dan rakan yang datang menyelamatkan saya dari menjadi mangsa,” katanya ketika ditemui.

Mohd Khairul berkata, beliau sempat menyelamatkan sebuah kereta milik ayahnya dan dua motosikal keluarganya daripada terbakar.

“Ketika kejadian saya seorang sahaja berada di rumah, mak dan ayah keluar bekerja, manakala adik-adik ke sekolah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Syukri Hashim, berkata pihaknya menerima panggilan pada 10.04 pagi sebelum tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.

Katanya, seramai 16 anggota bomba termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu serta Sungai Petani bergegas ke lokasi terbabit bersama empat jentera selain dibantu Pasukan Bomba Sukarela Bakar Arang dan Sungai Petani.

“Ketika tiba di tempat kejadian, rumah di bahagian tengah sudah terbakar 70 peratus dan api sudah merebak ke rumah di sebelah kiri.

“Bagaimanapun, kami berjaya mengawal api daripada merebak di rumah sebelah kanan dan rumah berkenaan hanya terbakar di bahagian gentian dan alang rumah,” katanya.

Mohd Syukri berkata, kebakaran turut membabitkan kerosakan pada dua buah kereta jenis Grand Livina dan Honda Jazz yang terpaksa dipecahkan di bahagian cermin sisi untuk menyelamatkan daripada terbakar.

“Dalam kebakaran itu sebuah rumah musnah 90 peratus manakala dua lagi masing-masing sebanyak 60 dan 10 peratus.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca serta kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Berita Harian X