Rabu, 10 April 2019 | 4:41pm

Bayi meninggal dunia disyaki akibat tersedak susu

JOHOR BAHRU: Seorang bayi lelaki berusia empat bulan meninggal dunia, dipercayai kerana tersedak susu di rumah pengasuhnya di Jalan Merdeka, Kampung Melayu Majidee, di sini semalam.

Kejadian kira-kira jam 2 petang itu disedari pengasuh apabila mendapati bayi berkenaan, Haraz Mohd Hafez, tidak sedarkan diri.

Bapa bayi berkenaan, Mohd Hafez Mohamed, 32, berkata beliau berada di tempat kerja ketika dihubungi pengasuh sebelum bergegas ke rumah berkenaan.

“Bila saya tengok anak tidak sedarkan diri dan keadaannya sudah pucat serta kebiru-biruan, saya terus membawanya menaiki motosikal untuk ke klinik kesihatan berhampiran.

“Ketika itu saya dapat rasakan anak sudah meninggal dunia dan rasa amat terkilan,” kata jurutera berkenaan ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, hari ini.

Mohd Hafez berkata, ketika anak bongsu daripada tiga beradik itu dirujuk ke Klinik Kesihatan Kampung Melayu Majidee, bantuan kecemasan termasuk bantuan pernafasan (CPR) diberikan, namun tiada tindak balas.

“Ketika badannya ditepuk-tepuk pegawai perubatan di situ, darah keluar sikit pada bahagian mulut sebelum dimaklumkan ia berpunca akibat tersedak susu.

“Anak saya kemudian dibawa ke HSA dengan ambulans dan melalui prosedur sama, namun tetap tiada tindak balas,” katanya yang kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) pada jam 5.23 petang semalam.

Mohd Hafez mendakwa, bahagian lutut hingga paha anaknya juga mempunyai kesan luka, cakar dan lebam yang disedari pada 29 Mac lalu, malah menyimpan gambar kecederaan berkenaan.

Mohd Raihan Mohamad, 34, bersama kakaknya Raihanah Mohamad, 39, (kiri) menuntut jenazah anak saudaranya, Harraz Mohd Hafez di Jabatan Perubatan Forensik HSA, Johor Bahru. - NSTP/Zain Ahmed
Mohd Raihan Mohamad, 34, bersama kakaknya Raihanah Mohamad, 39, (kiri) menuntut jenazah anak saudaranya, Harraz Mohd Hafez di Jabatan Perubatan Forensik HSA, Johor Bahru. - NSTP/Zain Ahmed
Berita Harian X