Rabu, 10 April 2019 | 5:55pm
Mohammad Ashraf hilang sejak 23 Mac lalu.

160 anggota polis terbabit dalam operasi cari Acap Sabtu Ini

GERIK: Polis Perak akan menggerakkan 160 anggota termasuk pegawai bagi meneruskan gerakan mencari peserta Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019, Mohammad Ashraf Hassan pada Sabtu ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid, berkata gerakan secara besar-besaran itu akan diketuai oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, SAC Yahya Abd Rahman dalam usaha untuk membantu mengesan kehilangan mangsa yang lebih dikenali sebagai Acap.

Beliau berkata pencarian Mohammad Ashraf yang hilang sejak 23 Mac lalu juga akan dibantu Unit Anjing Pengesan Polis Diraja Malaysia (K9) dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

“Kita akan membuat pencarian di kawasan tiga kilometer dari garisan penamat kerana kita percaya kemungkinan dia hilang dalam kawasan sebelum ke garisan penamat,” katanya kepada Bernama.

Beliau ditemui selepas Program Kemanusiaan dan Kemasyarakatan Ketua Polis Perak bersama Masyarakat Orang Asal di perkampungan Klewang, Tasik Temenggor di sini, hari ini.

Mengenai program hari ini, Razarudin berkata ia bertujuan mengeratkan hubungan dan kesefahaman antara polis dengan penduduk asal di Royal Belum.

“Menerusi program ini, kita juga meminta mereka berhubung dan melaporkan kewujudan jenayah serta keselamatan di kawasan tempat tinggal masing-masing,” katanya.

Pada masa ini, katanya melalui aktiviti yang diadakan, PDRM berharap dapat mempelajari sesuatu mengenai landskap kehidupan Orang Asli terutama suku kaum Jahai bagi dipraktikkan dalam penugasan keselamatan.

Pelbagai program diadakan antaranya pemberian makanan yang dimasak kepada 180 penduduk, penyampaian barangan keperluan asas kepada 33 keluarga, aktiviti sukaneka serta pemeriksaan dan rawatan kesihatan oleh Pejabat Kesihatan Hulu Perak. – BERNAMA

Berita Harian X