Rabu, 10 April 2019 | 6:40pm
MENTERI Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. - Foto Farizul Hafiz Awang.
MENTERI Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. - Foto Farizul Hafiz Awang.

Kerajaan negeri rayu pembatalan injunksi peneroka

KUANTAN: Kerajaan negeri Pahang akan mengemukakan rayuan kepada mahkamah esok untuk membatalkan injunksi yang dibuat 23 peneroka tanah di Cameron Highlands bagi penangguhan penguatkasaan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata Mahkamah Tinggi Kuantan di sini, pagi tadi memutuskan penangguhan penguatkuasaan di kawasan terbabit yang difailkan peneroka pada 3 April lalu.

“Kita buat penguatkuasaan kerana penerokaan tanah di situ sangat serius dan memudaratkan penduduk sekitar. Sebelum dikuatkuasakan, saya minta Setiausaha Kerajaan Negeri mengkaji adakah benar kawasan terbabit diteroka secara haram, adakah terdapat pencemaran atau dalam masa pendek dan panjang akan menyusahkan rakyat.

“Setiausaha kerajaan juga sudah mengadakan mesyuarat dan berjumpa dengan beberapa agensi kerajaan bagi mendapatkan kata putus untuk meneruskan penguatkuasaan pada masa itu tetapi apabila pekebun-pekebun ini merayu kepada mahkamah dan mahkamah membuat keputusan, kita akur.

“Sebaliknya, kita juga akan membuat rayuan di mahkamah untuk tindakan selanjutnya. Kita sudah beri notis sebulan kepada mereka dan notis terbabit masih berjalan sehingga ke hari ini,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian kepada media selepas Majlis Prapelancaran Pengaturan Kendiri (Self Regulated) Prosedur Permohonan Kelulusan Pemajuan Pihak Berkuasa Tempatan di sini, hari ini.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan terhadap penerokaan haram tanah di Cameron Highlands bukan bersifat perkauman atau dendam politik, sebaliknya dilakukan demi kebaikan semua pihak, disamping mengelakkan pencemaran sungai.

“Kerajaan negeri akan mengemukakan rayuan di mahkamah esok bagi membatalkan injunksi terbabit. Saya sedih kerana apa yang kita lakukan adalah untuk kebaikan, bukan ada niat lain mahupun bersifat ‘racist’ (perkauman) atau dendam politik kerana keadaan di sana sangat teruk.

“Saya bagi tempoh, dua ke tiga tahun akan datang pasti akan ada orang yang mati kerana minum air (tercemar). Saya minta Setiausaha Kerajaan Negeri untuk menjalankan kajian dan memperhalusi kawasan yang benar-benar sensitif itu,” katanya.

Bulan lalu, kerajaan negeri menjalankan operasi memusnahkan 61 kebun haram dengan keluasan berjumlah kira-kira 55 hektar di Cameron Highlands ekoran pencerobohan yang berlaku di rizab sungai dan jalan yang berada dalam kawasan tadahan air di Kuala Terla khususnya Sungai Ichat di bawah Mukim Ulu Telom.

Berita Harian X