Sabtu, 13 April 2019 | 12:50pm

Usaha pencarian Acap masih diteruskan

GOPENG: Memasuki hari ke-22 kehilangan peserta Gopeng Urban Trail 2019 (GUT 2019), Mohammad Ashraf Hassan, 29 yang hilang sejak 23 Mac lalu, usaha pencarian masih diteruskan dan hari ini operasi mencari dan menyelamat (SAR) kembali dijalankan secara besar-besaran.

Operasi Khas, Ops Kesan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak digerakkan dengan kekuatan lebih 200 anggota membabitkan beberapa agensi serta sukarelawan.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain, berkata operasi khas itu membabitkan seramai 180 pegawai kanan, pegawai dan anggota JSJ IPK Perak termasuk dari Bahagian Siasatan Khas (D9) serta Unit Forensik IPK selain dibantu anggota dan dua Unit Anjing Pengesan (K9) Bukit Aman.

Menurutnya, selain polis Ops Kesan diketuai Ketua JSJ Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman itu juga dibantu lebih 50 anggota bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta sukarelawan.

“Pencarian dilakukan berdasarkan maklumat dan petunjuk yang diperoleh sebelum ini yang membabitkan kawasan Bukit Batu Putih dan Kampung Jahang, di sini selain kawasan yang belum diliputi.

Pencarian dilakukan berdasarkan maklumat dan petunjuk yang diperoleh sebelum ini yang membabitkan kawasan Bukit Batu Putih dan Kampung Jahang. - NSTP/Abdullah Yusof
Pencarian dilakukan berdasarkan maklumat dan petunjuk yang diperoleh sebelum ini yang membabitkan kawasan Bukit Batu Putih dan Kampung Jahang. - NSTP/Abdullah Yusof

“Kawasan pencarian juga meliputi lokasi isyarat terakhir telefon mangsa dikesan iaitu kira-kira 2.8 kilometer dari garisan penamat larian,” katanya pada sidang media sebelum operasi dimulakan di Kampung Pintu Padang, di sini, hari ini.

Hadir sama Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohd Yunus Abu.

Katanya, pasukan pencarian dibahagikan kepada 38 kumpulan membabitkan tiga hingga empat orang setiap kumpulan dan operasi dijangka tamat pada 5 petang ini mengikut keadaan.

Ditanya sama ada operasi pencarian Mohammad Ashraf atau lebih mesra dipanggil Acap di kalangan keluarga dan rakan akan dihentikan sekiranya mangsa masih gagal ditemui hari ini, Razarudin berkata usaha tetap diteruskan namun seperti sebelum ini iaitu pada skala kecil.

Anggota polis ketika operasi mencari dan menyelamat Acap yang hilang sejak 23 Mac lalu di Kampung Chulek, Gopeng. - NSTP/Abdullah Yusof
Anggota polis ketika operasi mencari dan menyelamat Acap yang hilang sejak 23 Mac lalu di Kampung Chulek, Gopeng. - NSTP/Abdullah Yusof

Ops Kesan membabitkan seramai 180 pegawai kanan, pegawai dan anggota JSJ IPK Perak. - NSTP/Abdullah Yusof
Ops Kesan membabitkan seramai 180 pegawai kanan, pegawai dan anggota JSJ IPK Perak. - NSTP/Abdullah Yusof

“Seperti semua maklum sejak kehilangan Acap dilaporkan ramai yang membantu mencarinya termasuk sukarelawan, pengamal perubatan, ustaz selain keluarga dan rakan mangsa.

“Keadaan ini masih berterusan dan polis tidak mahu berlaku kehilangan individu lain pula, maka disebabkan itu pusat operasi pencarian tidak ditutup walaupun SAR hanya dilakukan pada skala kecil,” katanya.

Razarudin (dua dari kanan) menyerahkan gegantung Operasi Khas, Ops Kesan JSJ IPK Perak kepada abang kepada Acap, Mohd Zahiruddin Hassan (dua dari kiri) di Kampung Pintu Padang, Gopeng. - NSTP/Abdullah Yusof

Ops Kesan juga dibantu lebih 50 anggota bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta sukarelawan. - NSTP/Abdullah Yusof
Ops Kesan juga dibantu lebih 50 anggota bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta sukarelawan. - NSTP/Abdullah Yusof
Berita Harian X